KENYATAAN Timbalan Ketua Wanita Muda Amanah (Warda) Nasional, Siti Nur Aishah Mohd Zain berkenaan isu had dua penggal jawatan Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada hanya 10 tahun dapat memastikan pemimpin negara sentiasa segar dengan idea baharu dan tidak terlalu selesa dengan kuasa yang dimiliki.

Timbalan Ketua Wanita Muda Amanah (Warda) Nasional, Siti Nur Aishah Mohd Zain berkata, had dua penggal juga dapat mengelakkan situasi di mana seorang Perdana Menteri terlalu lama berkuasa sehingga menghambat peluang pemimpin lain untuk naik dan menyumbang kepada negara.

Tambah beliau, dalam sistem demokrasi yang matang, peralihan kuasa secara berkala adalah elemen penting bagi menjamin kestabilan politik dan pembangunan yang berterusan.

Selain itu, ujarnya, dengan adanya had dua penggal juga, pemimpin dipilih akan lebih fokus dalam melaksanakan dasar yang memberi impak positif dalam jangka masa ditetapkan.

“Mereka tidak akan berasa terlalu selesa atau menangguhkan keputusan penting hanya kerana yakin dapat terus berkuasa tanpa had.

“Ini juga boleh mengurangkan budaya politik berasaskan individu dan mewujudkan sistem kepimpinan yang lebih bersifat kolektif serta berorientasikan dasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menegaskan kerajaan perlu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18 semalam, Anthony Loke berkata, perkara itu perlu dilakukan dalam tempoh 24 bulan memandangkan ia adalah manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang perlu ditunaikan.

Sementara itu, Siti Nur Aishah menambah, pelaksanaan had dua penggal jawatan Perdana Menteri juga mampu memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap sistem politik negara.

Ujarnya, rakyat akan lebih yakin setiap pemimpin hanya diberi peluang yang adil dan terhad untuk berkhidmat, tanpa sebarang risiko pemusatan kuasa yang keterlaluan.

“Ini juga dapat mengurangkan amalan politik wang serta penyalahgunaan jentera kerajaan untuk mengekalkan kuasa secara tidak demokratik,” katanya.

Bagaimanapun, tambah Siti Nur Aishah, cadangan itu sekiranya mahu dilaksanakan memerlukan pindaan Perlembagaan yang hanya boleh berlaku dengan kerjasama antara blok kerajaan dan pembangkang.

Jelas beliau, sekiranya semua pihak benar-benar komited terhadap reformasi politik dan mahu melihat Malaysia menjadi sebuah negara demokrasi yang lebih matang, cadangan itu sewajarnya mendapat sokongan bipartisan.

“Mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal bukanlah isu politik, tetapi satu langkah ke arah reformasi institusi.

“Kini terpulang kepada pemimpin politik sama ada mereka bersedia meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu atau tidak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here