KUALA LUMPUR – MCA menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) memainkan peranan yang lebih berkesan dalam memastikan kesejahteraan doktor muda dan keseluruhan sistem kesihatan di negara ini.
Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low berkata, isu berkenaan pemilihan penempatan (E-placement) melibatkan doktor muda ketika ini tidak seharusnya berlaku memandangkan sistem kesihatan negara amat memerlukan kepakaran perubatan yang dimiliki oleh golongan doktor muda tersebut.
“Adakah KKM sanggup melihat permata dalam bidang perubatan hilang lagi?
“Sistem kesihatan negara sudah cukup ‘sesak’ dengan masalah kekurangan pakar perubatan, bila sudah ada yang layak untuk bekerja, kenapa mereka diperlakukan sebegini?
“Adakah ini adil dan balasan buat mereka yang sudah berhempas-pulas berpuluh tahun belajar dengan cemerlang untuk bergelar seorang doktor?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Lawrence turut mempersoalkan tindakan KKM membatalkan dan memberi tarikh baharu permohonan E-placement yang bukan sahaja dibuat saat akhir, malah tanpa disusulan alasan munasabah.
Ujar beliau, tindakan itu tidak adil kepada doktor muda berkenaan apatah lagi mereka tidak mempunyai pilihan tetapi perlu akur dan patuh dengan ketetapan dibuat KKM.
“Bidang kesihatan bukan hanya tertumpu kepada pesakit semata-mata, malah ia turut melibatkan kesejahteraan fizikal dan mental doktor muda.
“Sehubungan itu, MCA menggesa agar KKM bertindak dengan segera bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu ini.
“Jangan kerana sikap acuh tak acuh KKM, negara hilang bakat bidang perubatan yang jelas mampu memberi sumbangan kepada sistem kesihatan negara,” katanya.
Semalam, kumpulan doktor muda meluahkan rasa kecewa dan berasa seolah-olah dipermainkan oleh KKM selepas permohonan E-placement mereka yang sepatutnya dibuat hari ini ditunda sekali lagi.
Lebih mengecewakan, kata mereka, penangguhan itu yang dimaklumkan menerusi e-mel yang diterima, ditukar ke minggu terakhir sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri iaitu antara 25 hingga 27 Februari.
Permohonan melibatkan seramai 2,245 doktor muda itu sebelum ini pernah dibuat pada 27 Februari lalu, namun dibatalkan KKM susulan gangguan teknikal pada sistem E-placement.
Bagaimanapun, KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, bagi memastikan ketelusan dalam proses penempatan dan menangani isu maldistribusi, pemilihan baharu akan dibuka semula semalam, namun sekali lagi dibatalkan tanpa penjelasan lanjut. – MalaysiaGazette