Oleh: Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli
DALAM kehidupan seharian, ada perkara yang perlu dipandang serius dan tidak boleh dibuat bahan sindiran atau hinaan, dan ada perkara yang oleh dibuat bahan lawak jenaka dan mainan. Bagi umat Islam, banyak perkara sensitif yang perlu dihormati oleh semua pihak. Ia melibatkan perkara yang berkaitan dengan Allah SWT, Nabi Muhammad SWT, al-Quran, Sunnah dan ajaran Islam.
Apabila perkara ini disentuh, ia boleh menimbulkan percikan rasa ketidakpuasan hati dalam kalangan umat Islam sama ada ia dilakukan oleh orang Islam sendiri atau mereka yang tidak beragama Islam. Provokasi terhadap umat Islam khususnya yang melibatkan Nabi Muhammad SAW ini boleh menimbulkan kemarahan kerana ia mempunyai keterkaitan batin dan emosi yang erat dengan mereka, iaitu sosok yang sangat dicintai, dirindui dan dikagumi. Baginda SAW adalah rahmat ke seluruh alam.
Walaupun tujuan provokasi hanyalah sebuah teknik pemasaran yang bersifat murahan, matlamat tersebut tidak menghalalkan cara yang dilakukan, dan teknik pemasaran yang buruk tetap buruk walau ia memberi impak dan menarik perhatian. Dasarnya, perkara yang berkaitan dengan Nabi Muhammad SAW bukanlah sebuah komoditi komersial yang boleh disalahgunakan untuk meraih keuntungan duniawi.
Tergamaknya mereka yang menisbahkan karakter buruk dan keji terhadap baginda SAW. Di manakah letaknya hati nurani dan keimanan terhadap Rasulullah SAW sebagai pelengkap rukun iman. Umat Islam semua wajar faham bahawa adanya sifat ismah atau maksum Nabi SAW. Nabi Muhammad SAW seorang yang terpelihara daripada salah dan dosa. Dalam al-Quran, surah al-Najm, ayat 3-4, Allah SWT telah tegaskan bahawa baginda tidak melafazkan sesuatu berasaskan hawa nafsu. Firman Allah SWT, maknanya: Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri (3). Segala yang diperkatakannya itu (sama ada al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya (4).
Begitu juga dengan tingkah laku baginda SAW yang umpama al-Quran. Sa’ad bin Hisyam bin Amir berkata: “Aku berkata: ‘Wahai Ummul Mukminin! Beritahulah aku tentang akhlak Rasulullah SAW?” Aisyah bertanya: ‘Bukankah engkau membaca al-Qur’an?” Aku menjawab: “Ya.” Ia berkata: “Sesungguhnya akhlak Nabi SAW adalah al-Qur’an.” (HR Muslim).
Jadi, penisbahan buruk kepada Rasulullah SAW adalah satu hasil dari falasi berfikir yang salah, walau diatasnamakan sebagai rasional dan hasil daripada pemahaman ke atas Sunnah atau interpretasi sirah Rasulullah SAW yang bersifat literal dan cetek. Generalisasi secara terburu-buru dan dangkal akan menghasilkan pernyataan yang salah tentang keperibadian baginda SAW. Tindakan ini juga bersalahan dengan sifat baginda yang terpelihara.
Di manakah letak rasa malu atau cinta kepada Nabi SAW, jika ada umat Islam yang sanggup mempergunakan Nabi dalam konteks yang negatif demi sebuah pemasaran dan menarik perhatian. Ia adalah termasuk dalam tuduhan atau mengada-adakan sesuatu yang tidak benar (buhtan) dan secara terang-terangan bertentangan dengan prinsip Islam, walaupun matlamat pihak yang melakukan provokasi murahan tersebut tercapai.
Ingatlah, provokasi murahan sebegini adalah salah dalam Islam kerana mencemarkan nama baik Baginda SAW. Sedangkan Allah SWT dan para malaikat sentiasa berselawat kepada Nabi Muhammad SAW. Dalam surah al-Ahzab, ayat 56, Allah SWT berfirman, maknanya: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. Jadi, selawat yang berasal dari Allah kepada Rasulullah SAW bererti pujian, dari malaikat bermakna kasih sayang dan permohonan rahmat kepada Allah.
Manakala selawat dari orang beriman adalah doa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat dan menambah kemuliaan kepada Rasulullah SAW. Dalam hadis yang lain, Nabi SAW menjelaskan tentang kesempurnaan iman seorang Muslim adalah dengan menyintai Baginda melebihi makhluk yang lain. Daripada Anas RA ia berkata: Nabi SAW bersabda, maknanya: “Tidak sempurna keimanan seseorang di antara kalian hingga ia lebih mencintai aku daripada kedua orang tuanya, anaknya, dan manusia
semuanya.” (HR Bukhari).
Dengan itu, jelas bahawa kesempurnaan iman itu menuntut kecintaan yang sempurna kepada Rasulullah SAW yang mengatasi rasa cinta kepada ibu bapa, anak dan manusia seluruhnya. Maka, rasa cinta ini akan dimanifestasikan dengan perlakuan dan tutur kata yang baik kepada Rasulullah SAW. Seseorang yang menyintai Nabi pasti akan mempertahankan kekasihnya, mengikuti Sunnahnya, mempertahankan syariat Islam, serta melawan golongan sesat yang meragukan dan merosakkan nama baik Baginda SAW.
Sehubungan dengan itu, jangan bermudah-mudah untuk menisbahkan sesuatu kepada Rasulullah SAW sekiranya tiada asas keilmuan yang kukuh. Ia boleh menjadi satu tuduhan berat dan dipertanggungjawabkan sama ada di dunia atau di akhirat kelak. Jika seseorang mendakwa lebih mengenali dan menyintai Nabi SAW, pastilah tiada ungkapan atau tulisan yang merendahkan dan menjatuhkan nama baik Baginda SAW.
Malahan, orang yang mengenali Nabi SAW akan menjaga kesucian nama baik baginda dan sentiasa berselawat serta mengikuti segala suruhan dan meninggalkan larangan Baginda SAW. Jangan membina naratif buruk kepada baginda. Jika seseorang itu tiada sekelumit rasa cinta di hati atau tidak berharap syafaat baginda di hari akhirat kelak, lakukanlah apa yang diinginkan demi kepuasan duniawi serta secubit manfaat yang hanya bersifat sementara. Semoga kita termasuk dalam kalangan mereka yang menyintai Nabi dan mempertahankan ajaran Baginda SAW.
Penulis adalah Pensyarah, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya