SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini mengumumkan pengecualian lima item tidak kritikal dalam pemeriksaan kenderaan perdagangan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) yang berkuat kuasa hari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pengecualian itu diperkenalkan melalui konsep deklarasi kendiri bagi lima item pemeriksaan yang tidak melibatkan aspek keselamatan.
Lima item itu ialah tanda badan, tanda had laju, kit bantuan kecemasan, nombor pendaftaran dan keadaan tempat duduk penumpang.
“Konsep itu merupakan langkah penambahbaikan bagi menangani isu pemeriksaan dan melancarkan proses pelaksanaannya, sekali gus mengurangkan kesesakan di pusat tersebut.
“Ia melibatkan penandaan yang menunjukkan identiti kenderaan komersial; paparan had kelajuan maksimum pada badan kenderaan; kelengkapan pertolongan cemas dalam kenderaan dan berkaitan keadaan kedudukan penumpang khususnya untuk perkhidmatan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sempena langkah-langkah penambahbaikan yang berkuatkuasa hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman.
Kakitangan PUSPAKOM sedang melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan-kenderaan semasa Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Seksyen 28, Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 17 MAC 2025.
Tambah Aedy, langkah tersebut dijangka dapat memendekkan masa pemeriksaan dan mengurangkan kes kegagalan atas sebab tidak kritikal dari aspek keselamatan.
“Bagi mana-mana kenderaan yang telah gagal lima item tersebut sebelum tarikh pelaksanaan, pemilik kenderaan boleh terus menjalani pemeriksaan sebelum di Puspakom secara dalam talian.
“Kelonggaran ini diberi hanya kepada kenderaan yang gagal pemeriksaan bagi lima item tersebut sahaja tanpa melibatkan mana-mana item pemeriksaan yang lain,” jelasnya.
Sementara itu beliau menegaskan, pelaksanaan deklarasi kendiri bagi lima item tersebut hanya melibatkan prosedur pemeriksaan di Puspakom sahaja.

Namun, setiap kenderaan perdagangan masih tertakluk kepada pematuhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta kaedah-kaedah di bawahnya.
“Walau bagaimanapun lima item ini bukanlah dibuang, masih lagi tertakluk kepada peraturan-peraturan penguatkuasa JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mana pihak berkuasa ini akan mengambil tindakan sekiranya kita dapati kenderaan-kenderaan ini tidak mempunyai lima item ini, kompaun akan dikenakan setiap item bernilai RM300,” tambahnya.
Dianggarkan kira-kira 7,500 pemilik kenderaan perdagangan dijangka membuat deklarasi kendiri dan tempahan pemeriksaan setiap hari menerusi dalam talian di Puspakom bermula hari ini.
Terdahulu, Mahmood berkata, konsep tersebut dijangka mengurangkan masa pemeriksaan sehingga 10 minit di Puspakom yang sebelum ini dilihat menjadi salah satu punca kesesakan.
Katanya lagi, berdasarkan rekod Puspakom lebih kurang 70,000 kegagalan direkodkan setiap tahun melibatkan lima item berkenaan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pada 11 Mac yang lalu mengumumkan mengumumkan langkah-langkah penambahbaikan yang berkuatkuasa pada hari ini bagi menangani isu tersebut yang akan memberi manfaat kepada pemilik kenderaan, khususnya dalam melancarkan proses pemeriksaan.- MalaysiaGazette