KUALA LUMPUR – Syarikat Atlis Holidays Sdn. Bhd. (Atlis Holidays) telah menghentikan serta-merta tugas mutawif lelaki yang terlibat dalam insiden menampar seorang pelajar sehingga patah hidung dalam kejadian di Saujana Impian, Kajang, baru-baru ini.
Atlis Holidays dalam kenyataan hari ini memaklumkan, lelaki berkenaan hanya bertugas sebagai mutawif secara separuh masa (freelance) dengan syarikat itu.
Katanya, pihaknya juga tidak pernah melantik lelaki itu sebagai penasihat syariah seperti yang dipaparkan oleh lelaki berkenaan di butiran profil media sosial Facebook miliknya.

“Pihak kami telah membuat laporan polis untuk melindungi perniagaan kami dan tindakan pelaku tersebut yang memuat naik butiran profil Facebook yang mengelirukan masyarakat umum.
“Pihak kami juga membuat hebahan ini secara rasmi untuk menjelaskan bahawa pihak syarikat tidak mempunyai sebarang kaitan dan/atau tanggungjawab dan/atau liabiliti terhadap tindakan peribadi pelaku tersebut.
“Akhlak pelaku tidak mewakili keseluruhan syarikat,” katanya.
Tambah kenyataan itu, pihaknya berharap penerangan yang diberikan dapat menjelaskan posisi syarikat terbabit dalam situasi yang sedang berlaku dan berharap isu antara pelaku dan mangsa dapat diselesaikan dengan seadilnya oleh pihak berkuasa.
“Kami juga menegaskan bahawa pihak syarikat tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat komen-komen dan/atau hantaran-hantaran berbaur ancaman, ugutan dan/atau fitnah yang dilemparkan ke atas syarikat kami berikutan tindakan peribadi pelaku tersebut,” katanya.
Sebelum ini, polis menahan reman seorang lelaki berusia 39 tahun selepas didakwa memukul seorang pelajar sekolah menengah sehingga retak tulang hidung ekoran selisih faham di jalan raya berhampiran Saujana Impian, Kajang, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya juga telah merakam keterangan enam individu bagi membantu siasatan kes berkenaan. – MalaysiaGazette