KLUANG – Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) sudah pun bermula kelmarin di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Segamat diikuti daerah lain.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz berkata, stesen di Labis akan bermula pada April ini diikuti Stesen KTMB Kluang pada Mei manakala Stesen KTMB Johor Bahru pada September ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap memberitahu, projek berkenaan dijangka beroperasi sepenuhnya pada September ini.
“Semasa balik ke kawasan Simpang Renggam, saya berkesempatan melawat Stesen KTM Layang-Layang bagi meninjau sendiri perkembangan projek ini. Saya turut melihat kemajuan kerja-kerja infrastruktur serta berbincang dengan pihak berkaitan bagi memastikan projek ini berjalan lancar demi keselesaan rakyat.
“Dengan adanya landasan berkembar ini, perjalanan dari KL Sentral ke JB Sentral hanya mengambil masa 3 jam 30 minit, menjadikannya pilihan lebih pantas, selesa, dan efisien.
“Laluan sepanjang 192km ini merentasi Segamat, Kluang, Kulai, dan Johor Bahru sebelum berakhir di JB Sentral. Dengan kelajuan sehingga 160 km/j, tren elektrik ini mampu menampung kapasiti penumpang dengan 22 perjalanan sehari dan menawarkan 346 tempat duduk setiap tren,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.
Katanya, PLBEGJB merupakan satu lonjakan besar dalam sistem pengangkutan rel negara, khususnya di selatan tanah air.
Projek berkenaan melengkapkan jaringan Landasan Berkembar Elektrik KTMB di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, menghubungkan Johor Bahru hingga ke Padang Besar, ujar Onn Hafiz.
“PLBEGJB juga merupakan sebagai sebahagian daripada transformasi infrastruktur negeri Johor. Semoga perkhidmatan ini akan membawa manfaat besar kepada rakyat dan negeri Johor, menjadikannya lebih maju dan berdaya saing,” tambahnya.- MalaysiaGazette