KUALA LUMPUR – Bekas ahli DAP, Shamsher Singh Thind mempersoalkan pelantikan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng sebagai Penasihat DAP dalam barisan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baharu bagi penggal 2025-2028.
Beliau yang juga seorang peguam berkata, pelantikan Guan Eng itu dibuat ketika bekas Pengerusi Kebangsaan DAP berkenaan masih mempunyai kes dakwaan rasuah yang belum selesai.
Dalam masa sama, ujarnya, pelantikan itu juga dibuat ketika Guan Eng hampir ditolak oleh para perwakilan DAP pada pemilihan CEC semalam yang menyaksikan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan berada di tangga ke-26 daripada 30 calon yang terpilih.

“Jadi, mengapa CEC yang dipimpin oleh Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP) dan Gobind Singh Deo (Pengerusi DAP) masih mahu mendapatkan nasihat daripada beliau?” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook malam tadi.
Menjelaskan lebih lanjut, kata Shamsher, berdasarkan Perlembagaan DAP, jawatan Penasihat bukan sebahagian daripada CEC.
“Namun, mengikut Fasal XII, subfasal 9(e), CEC mempunyai kuasa untuk melantik seorang (atau beberapa) penasihat, yang dibenarkan untuk menghadiri mesyuarat parti tetapi tidak mempunyai hak mengundi. Jadi, LGE (Guan Eng) hanyalah seorang pemerhati,” katanya.
Sementelah, ujar beliau, Perlembagaan DAP juga menetapkan bahawa hanya Setiausaha Agung dan Pengerusi Kebangsaan yang boleh mengeluarkan kenyataan atas nama parti.
“Kita lihat sama ada Penasihat (Guan Eng) akan mematuhi peraturan ini atau tidak,” katanya.
Sementara itu, pemerhati politik tempatan, Azizi Safar turut melahirkan rasa hairan dengan pelantikan Guan Eng sebagai penasihat memandangkan jawatan tersebut tidak ada dalam Perlembagaan DAP.

Ini kerana, ujarnya, Guan Eng sudah terpilih dalam kalangan 30 individu yang menganggotai CEC DAP, justeru menimbulkan persoalan bagaimana seorang yang dipilih oleh perwakilan untuk berada dalam CEC DAP tapi dilantik pegang jawatan yang tiada dalam Perlembangan DAP.
“Serupa macam dulu-dulu PKR lantik Ketua Umum PKR jugak lah, jawatan yang tiada dalam Perlembangan.
“Penasihat DAP sebelum ini adalah Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Cheras yang tidak bertanding pada pemilihan kali ini. Sebelum jadi Penasihat, Tan Kok Wai adalah Pengerusi Kebangsaan DAP.
“Dah boleh nampak ke mana Lim Guan Eng selepas tamat penggal 2025-2028 ini nanti,” katanya. – MalaysiaGazette