JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki warga Singapura maut manakala empat ahli keluarga termasuk seorang pembantu rumah warga Indonesia cedera dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Pantai, Permas Jaya di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa yang maut berusia 7 tahun manakala ibu bapa, seorang adik perempuannya serta wanita warga Indonesia cedera dalam kejadian berlaku pukul 10.34 malam.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 57 tahun dari arah Masai ke pusat bandar terbabas dan memasuki laluan bertentangan dan melanggar kenderaan dinaiki kelima-lima mangsa.
“Akibat kemalangan itu, mangsa yang maut tercampak keluar daripada kenderaan, sebelum dilaporkan maut ketika sedang mendapatkan rawatan kecemasan di sebuah hospital swasta pada pukul 3 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pemandu kereta berusia 44 tahun serta beberapa penumpang lain masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HIS) di sini manakala yang lain mengalami kecederaan ringan dan dibenarkan pulang.
Menurut Raub, pihaknya telah menahan pemandu lori berkenaan dan hasi ujian urin mendapati positif dadah jenis methamphetamine selain tidak memiliki lesen memandu serta tiada lesen vokasional GDL/PSV.
Kes berkenaan katanya, disiasat mengikut Seksyen 44(1); Seksyen 26(1), Seksyen 56(1) dan Seksyen 15(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pemandu lori terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Penguasa Bomba Kanan Mohd Yusri Atan berkata, kemalangan itu melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki keluarga berkenaan dengan lori satu tan dipandu lelaki tempatan berusia 58 tahun.
Beliau memberitahu, kanak-kanak yang meninggal Mohamad Noah Soliqin Mohamad Khairuz manakala ibu bapanya, Mohamad Khairuz Bahrawi, 44, Fatimawati Affandi, 37, dan adiknya, Yuv Asyura, 3, yang semuanya warga Singapura cedera.
Pembantu rumah mereka katanya, Lina Yuliyanti, 38, yang merupakan warganegara Indonesia turut cedera.
“Tiada mangsa yang tersepit. Sebelum pihak bomba tiba, mangsa wanita dewasa dan seorang kanak-kanak dibawa ke hospital oleh orang awam.
“Pihak bomba bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa lain dan menghantar seorang lelaki dewasa serta kanak-kanak ke hospital manakala pegawai perubatan turut menghantar mangsa wanita dewasa ke hospital,” katanya.
Tambahnya, operasi menyelamat tamat pada pukul 11.02 malam.- MalaysiaGazette