KUALA LUMPUR – Pelumba trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri terpaksa mengakhiri perlumbaannya lebih awal selepas terlibat dalam kemalangan ketika acara keirin pada Kejohanan Piala Negara-Negara UCI, malam tadi.
Insiden berlaku ketika Nurul Izzah sedang melakukan henjutan terakhir menuju garisan penamat sebelum berlanggar dengan pelumba di hadapannya, Makaira Wallace.
Perlanggaran tersebut menyebabkan atlet negara itu gagal menamatkan perlumbaan dalam saringan repechage pusingan pertama dan statusnya bertukar kepada DNF (did not finish).
Bagaimanapun, setakat ini keadaan kecederaan Nurul Izzah masih belum diketahui.
Sebelum insiden itu, Nurul Izzah mencatat kejayaan membanggakan apabila berjaya memadam rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam acara pecut individu dengan catatan 10.578 saat.

Pada pusingan kelayakan yang berlangsung di Velodrom Konya, atlet berusia 22 tahun itu memadam rekod 10.658 saat yang diciptanya pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 di Nilai, bulan lepas.
Beliau menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-18 sekali gus melayakkan pelumba kelahiran Sungai Petani, Kedah itu mara ke pusingan 1/16 sebelum menewaskan pelumba dari Republik Czech Veronika Jabornikova.
Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Konya merupakan antara kejohanan penting dalam kalendar perlumbaan trek dunia, dengan penyertaan pelumba elit dari pelbagai negara. – MalaysiaGazette