KUALA LUMPUR – Pelabur asing meneruskan rentak jualan di Bursa Malaysia untuk minggu ke-21 berturut-turut, mencatatkan aliran keluar sebanyak RM1.34 bilion, peningkatan ketara daripada aliran keluar RM881.5 juta yang dicatatkan minggu sebelumnya.
MIDF Research berkata, pelabur asing adalah penjual bersih pada setiap hari dagangan, dengan Selasa menyaksikan aliran keluar paling banyak iaitu RM446.6 juta.
Pada hari-hari lain, julat aliran keluar dari RM107.1 juta hingga RM364.6 juta.
iga sektor teratas yang mencatat aliran masuk asing bersih ialah pembinaan (RM108.0 juta), teknologi (RM22 juta) dan tenaga (RM6.4 juta).
Sementara itu, tiga sektor teratas yang mencatat aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM703.8 juta), produk & perkhidmatan pengguna (RM122.6 juta) dan utiliti (RM119.2 juta).
Firma penyelidikan ini berkata, pelabur institusi tempatan masih kekal teguh menyokong pasaran tempatan, melakukan pembelian bersih untuk minggu ke-21 berturut-turut dengan aliran masuk RM1.31 bilion berbanding RM617.3 juta daripada minggu sebelumnya.
Sementara itu, pelabur runcit tempatan juga meneruskan belian bersih untuk minggu kelima berturut-turut, walaupun pada kadar yang lebih perlahan, mencatat aliran masuk bersih RM31.5 juta, penurunan mendadak daripada RM264.2 juta pada minggu sebelumnya.
Purata volum dagangan harian (ADTV) menyaksikan peningkatan secara meluas, kecuali pelabur runcit tempatan.
Pelabur asing dan institusi tempatan mencatatkan keuntungan masing-masing +11.0% dan +10.9%, manakala pelabur runcit menyaksikan penurunan kecil sebanyak 1.6%. – MalaysiaGazette