KAJANG – Permohonan pembebaskan dengan jaminan 21 ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang didakwa menjadi anggota kumpulan jenayah terancang akan ditentukan pada 24 Mac ini.
Mahkamah Tinggi Shah Alam yang bersidang di Kompleks Penjara Kajang di sini menetapkkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan pasukan peguam yang mewakili pemohon-pemohon serta pendakwa raya.
Keputusan sama ada mereka dibebaskan dengan jaminan atau kekal ditahan di penjara sementara menunggu perbicaraan, akan diumumkan oleh Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar pada hari tersebut dalam prosiding di kompleks berkenaan.
Permohonan itu dikemukakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), (GISBH), Nasiruddin Mohd. Ali, 65, dan isterinya, Azura Md. Yusof, 57, anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari, 32, dan 18 pemimpin tertinggi perniagaan itu.
Mereka ialah Mohd. Shukri Mohd Noor, 53, Hasnan Abd. Hamid, 53, Mokhtar Tajuddin, 60, Shuhaimi Mohamed, 56, Muhammad Afdaluddin Latif, 34, Mohamad Sayuti Omar, 35, Mohd Fazil Md. Jasin, 57, Mohd. Dhirar Fakhrur Razi, 34, Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 51, Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 34 dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 28.
Lapan tertuduh wanita lain ialah Asmat@ Asmanira Muhammad Ramly, 44, Mahani Kasim, 54, Siti Hajar Ismail, 51, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 27, Nurul Jannah Idris, 28, Nur Jannah Omar, 32 dan Siti Salmiah Ismail, 57.
Bagaimanapun, Hamimah Yakub, 72, telah dibebaskan dengan jaminan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Pada prosiding hari ini, pasukan peguam yang mewakili kesemua ahli kumpulan tersebut membangkitkan isu faktor kesihatan sebagai salah satu hujah bagi menyokong permohonan ikat jamin.
Peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili Nasiruddin berhujah, anak guamnya yang beristeri empat dan mempunyai 26 orang anak, menghidap penyakit kencing manis yang serius dan menghadapi masalah jantung.
Hujah beliau, anak guamnya yang mendapat khidmat doktor pakar sejak 2018, juga berhadapan dengan risiko kerosakan buah pinggang jika tidak dirawat dengan betul.
Menurut Rosli, Nasiruddin tiada rekod jenayah atau didakwa atas pertuduhan lain di bawah Akta Pertubuhan, pemerdagangan manusia atau berkaitan dengan isu akidah.
Ujar beliau, anak guamnya yang merupakan CEO GISBH terlibat dalam industri peniagaan dalam dan luar negara meliputi penyediaan makanan meliputi lebih 20 buah negara seluruh dunia.
“Sebelum tangkapan, perniagaan GISBH didokong oleh Kerajaan Malaysia dan tidak dipertikaikan oleh kerajaan mahupun pihak pendakwaan,” hujah beliau.
Rosli selanjutnya berhujah, anak guamnya tidak berisiko melarikan diri (flight risk) kerana mempunyai alamat tetap di sini serta tidak akan mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Beliau turut menyatakan, pemohon-pemohon tidak terlibat dalam penyembunyian harta GISBH.
Rosli yang turut berhujah bagi pihak Shuhaimi menyatakan, anak guamnya alahan terhadap nasi dan akan menghadapi masalah pemakanan jika terus direman.
Sementara itu, pasukan peguam turut mengguna pakai hujahan Rosli bagi menyokong permohonan anak guam mereka.
Peguam Kamal Hisham Jaafar yang mewakili Mohammad Adib At-Tamimi berhujah, pemohon boleh dipakaikan alat pengesan keselamatan bagi memastikan mereka tidak melarikan diri.
Seorang lagi peguam, Najib Zakaria berhujah, mahkamah mempunyai budi bicara membenarkan permohonan jaminan dan anak guam mereka sedia akur terhadap syarat jaminan tambahan yang dikenakan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hashim berhujah bahawa isu penyakit yang dibangkitkan oleh pemohon-pemohon tidak wajar diterima oleh mahkamah kerana ia tidak disokong oleh laporan pakar.
Hujah pendakwa, mereka gagal membuktikan bahawa alasan yang diberikan itu tergolong di bawah Seksyen 13(2) SOSMA.
Selain itu, beliau menyatakan, penyakit-penyakit yang dihidapai pemohon-pemohon adalah penyakit biasa yang turut dialami oleh orang lain.
“Mahkamah seharusnya membezakan penyakit mana yang boleh mewajarkan jaminan dibenarkan kerana jika tidak, ia akan menyebabkan undang-undang diperolokkan.
“Oleh yang demikian, pemohon-pemohon lebih selamat ditahan reman manakala kemudahan penjara adalah mencukupi untuk menyediakan rawatan,” ujarnya.
Mengikut pertuduhan yang dibaca berasingan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, Kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH), di Jalan Desa Bandar Country Homes, Rawang di sini, antara Oktober 2020 dan 11 September lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa penjara antara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas Mahkamah Sesyen Selayang memindahkan kes itu berikutan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi. – MalaysiaGazette