Datuk Marzuki Mohamad. Foto FAREEZ FADZIL, 13 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal bukanlah cadangan yang baharu, kata Datuk Dr Marzuki Mohamad.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berkata, cadangan itu sudah terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) 1.0 ketika di bawah  pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Semua parti termasuk Bersatu pada ketika itu bersetuju supaya tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan kepada dua penggal supaya tidak berlaku pemusatan kuasa kepada Perdana Menteri jika dia dibenarkan berkuasa terlalu lama.

“Dibimbangi kuasa kerajaan dan politik lama-kelamaan akan menjadi hak peribadi Perdana Menteri. Ini tidak baik untuk demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Marzuki berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata kerajaan memegang janji melaksana agenda reformasi termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Proses itu perlu dilaksana dengan rapi dan memerlukan konsensus semua parti serta dua pertiga Ahli Parlimen, jelas Anwar.

Mengulas perkara itu, Marzuki berkata, cadangan itu perlu dilaksanakan memandangkan Kerajaan Perpaduan mempunyai dua pertiga kerusi dalam Dewan Rakyat.

“Perkara teknikal ini boleh diperhalusi lagi. Cadangan ini tidak diteruskan ketika itu kerana parti kerajaan tidak mempunyai majoriti 2/3 di Parlimen. Kerajaan sekarang ada majoriti 2/3. Jadi eloklah ia diteruskan,” katanya lagi.

Semalam, DAP menerusi Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berharap kerajaan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 24 bulan ini bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, janji itu terkandung dalam manifesto PH dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here