Seorang warga emas menampar seorang lelaki Cina kerana makan di bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Polis menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang lelaki Cina mendakwa dirinya ditampar seorang warga emas kerana makan di bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya mengesan video kejadian berkenaan yang tular dalam aplikasi X oleh pemilik akaun @bingbinge656.

“Polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun pada pukul 9.08 malam semalam.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada hari sama sekitar pukul 3.45 petang di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru.

“Pengadu mendakwa dirinya ditampar dua kali di pipi kanan oleh seorang lelaki tidak dikenali selepas enggan menyerahkan MyKad ketika diminta suspek yang bertanyakan tentang agamanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

Ujarnya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di talian 07-5563122 bagi membantu siasatan.

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak di luar batas undang-undang dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa,” katanya.

Terdahulu, mangsa menerusi aplikasi X mendakwa warga emas itu bertanyakan kepadanya adakah dia seorang Islam atau sebaliknya sebelum meminta untuk melihat kad pengenalan.

Mangsa memaklumkan dia ke kedai berkenaan di sebuah pusat beli-belah di di sini untuk menikmati makanan seperti kebiasaannya.

Selepas tanya kalau saya Islam atau bukan Islam dan marah kenapa makan pada masa puasa ni, walaupun saya bukan Islam dan tidak mengganggunya.

“Dia tampar saya beberapa kali pula,” katanya.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana anak kepada lelaki itu segera menenangkan situasi sebelum memohon maaf terhadap tindakan bapanya.

“Pak cik itu tidak menghormati dan tampar saya di tempat awam. Saya boleh terima permohonan maaf itu tapi saya tak boleh lepaskan perkara ini,” jelasnya.

Menerusi hantaran sama, mangsa turut memuat naik rakaman video insiden berkenaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here