KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur hari ini berkongsi ilmu mengenai isu rasuah yang sering berlaku dalam persekitaran di institusi pengajian tinggi (IPT) bersama tenaga pengajar, kakitangan serta pelajar Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL).
Inisiatif menerusi Ceramah Antirasuah yang disampaikan Penolong Penguasa SPRM Kuala Lumpur, Ezmin Rashid dan disertai seramai 62 pelajar bersama-sama Pensyarah Kursus Integriti Anti Rasuah (KIAR), KPBKL, Asmawati Abd Hamid dan Nor Azatul Asya Nura Mohd Zakaria.
SPRM Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, ceramah yang disampaikan itu memberi penekanan terhadap isu rasuah dengan mengenal pasti risiko dan peluang rasuah, penghayatan nilai serta tanggungjawab sebagai warganegara yang bebas rasuah.

Turut diselitkan adalah beberapa contoh kes yang melibatkan jenayah rasuah yang dilakukan dari pelbagai latar belakang pendidikan dan taraf pekerjaan.
“Selain itu, para pelajar turut dititipkan pesanan berguna dalam menangkis habis-habisan budaya dan amalan rasuah dan seterusnya menjadi pelapis pentadbiran negara yang bersih dari rasuah,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook SPRM Kuala Lumpur hari ini.
Tambah kenyataan tersebut, program seupama itu merupakan peluang penting dalam mengingatkan semua pelajar untuk tidak terlibat dengan jenayah rasuah serta memastikan kehendak peraturan dan akta yang berkuat kuasa dipatuhi.
Ujarnya, ia secara tidak langsung dapat melahirkan golongan belia yang lebih berintegriti dan membenci gejala rasuah. – MalaysiaGazette