Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP yang baharu, Lim Guan Eng berterima kasih kepada semua penyokong serta mereka yang tidak menyokongnya pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, semalam.

Menurut Guan Eng yang juga bekas Pengerusi DAP itu, ramai menyuarakan kebimbangan mengenai pelbagai laporan berita berkenaan beliau selepas pemilihan CEC DAP tersebut.

“Saya hanya ingin mengambil sedikit masa untuk mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong saya – dan juga kepada mereka yang tidak menyokong saya.

“Terima kasih atas keprihatinan dan dorongan anda. Saya amat menghargainya dari lubuk hati saya!” katanya menerusi catatan ringkas di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Guan Eng turut mengucapkan tahniah kepada Anthony Loke yang dilantik semula memegang jawatan Setiausaha Agung DAP serta kepada Gobind Singh Deo yang dipilih sebagai Pengerusi Kebangsaan DAP baharu.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada kedua-duanya, dan yakin kita akan bersatu di bawah kepimpinan (Anthony) Loke.

“Marilah kita bersama-sama terus melangkah ke hadapan untuk memperkukuhkan DAP!” katanya.

Dalam pemilihan CEC DAP bagi penggal 2025-2028 semalam, Guan Eng hampir tersingkir daripada terpilih menganggotai CEC apabila sekadar berada pada kedudukan ke-26 daripada 30 calon yang layak.

Pemilihan itu juga menyaksikan Gobind Singh Deo mendapat undian paling tinggi sekali gus dilantik sebagai Pengerusi Kebangsaan DAP menggantikan Guan Eng yang kemudiannya dipilih sebagai Penasihat DAP.

Terdahulu, pemilihan CEC DAP itu berlangsung dalam desas-desus wujud gerakan untuk menyingkirkan Guan Eng sekali gus menamatkan legasi keluarga `Lim’ dalam DAP.

Meskipun dinafikan beberapa pemimpin DAP, namun gerakan itu seolah-olah wujud dan hampir menjadi kenyataan apabila Guan Eng sekadar berada pada kedudukan ke-26 daripada 30 calon yang terpilih menganggotai CEC, manakala adiknya, Lim Hui Ying langsung tidak terpilih. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here