MELAKA – Konsep kebersamaan dan keharmonian merupakan salah satu elemen yang menjadi resepi kejayaan cemerlang Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) secara berterusan.
Perkara berkenaan merupakan antara agenda yang disampaikan oleh Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin sewaktu Majlis Iftar Bersama Tun Canselor di Masjid Sayyidina Abu Bakar, Kampus Induk UTeM baru-baru ini.
Jelas Massila, agenda itu menjadi formula dan resepi kejayaan UTeM secara berterusan yang melibatkan penzahiran kerjasama segenap kakitangan, pelajar, pemegang taruh serta segenap pihak industri dan komuniti yang bekerjasama dengan UTeM.
“Keharmonian dan kebersamaan ini bukan hanya menjadi daya pembentuk persekitaran hebat dalam kampus UTeM semata-mata malahan ia merentasi sempadan negeri, nasional serta persada dunia.
“Justeru, agenda ini akan diteruskan kerana terbukti dengan rangkaian kejayaan dan kecemerlangan yang telah dikecapi oleh UTeM selama ini,” katanya lagi.
Sewaktu majlis ini juga UTeM telah menerima dividen sebanyak RM6 juta dan 20,000 naskah al-Quran bernilai RM1.4 juta daripada UTeM Holdings Sdn Bhd (UHSB).
Penyerahan tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UHSB dan juga ahli Lembaga Pengarah UTeM, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka dan juga Canselor UTeM, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.
Massila berkata, UHSB terus komited menyumbangkan pembayaran dividen tahun 2024 dalam amaun besar sebanyak RM 6 juta kepada UTeM.
Ujarnya, UHSB turut menyumbangkan sebanyak 20,000 naskah Al-Quran Al Mufiq yang bernilai sebanyak RM 1.4 juta kepada UTeM untuk edaran kepada seluruh staf, pelajar dan komuniti setempat.
“Pada masa yang sama UHSB telah bersetuju untuk memberi sumbangan hari raya sebanyak RM200 buat setiap seorang kepada 861 orang staf UTeM yang terdiri daripada kumpulan pelaksana.
Massila menyatakan keharmonian dan kebersamaan UTeM yang sentiasa prihatin dalam aspek kebajikan dan tanpa henti melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan di samping menghulur sumbangan bantuan kepada yang memerlukan.
“Antaranya adalah sumbangan hari raya kepada 50 orang pelajar asnaf UTeM dengan nilai sebanyak RM25,000 dan sumbangan Program Door 2 Door warga UTeM berkeperluan yang memberi manfaat kepada 20 staf dengan nilai RM10,000 melalui Tabung Amal Jariyah.
“Di samping itu, UTeM turut menyampaikan sumbangan Komuniti Food Bank Kasih Ramadhan bernilai RM3,000.00 kepada yang memerlukan,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Iftar Bersama Tun Canselor UTeM.
Pada majlis yang sama turut diadakan gimik peluncuran Sambutan Jubli Perak UTeM 25 Tahun yang mana pada 1 Disember 2025 nanti genaplah usia penubuhan UTeM selama 25 tahun.
Sehubungan dengan itu, UTeM dijangka akan menganjurkan majlis gilang gemilang untuk meraikan ulang tahun ke 25 tahun pada hari tersebut nanti. – MalaysiaGazette