KUALA LUMPUR – Seramai 15 lelaki warga Bangladesh ditahan setelah didapati cuba memasuki Malaysia dengan menyamar sebagai pasukan kriket dalam satu pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kumpulan berkenaan cuba mengaburi mata pegawai AKPS dengan berpakaian lengkap seragam sukan kriket dan mengemukakan surat penganjuran kejohanan.
“Walau bagaimanapun, hasil siasatan mendapati surat yang didakwa dikeluarkan oleh Persatuan Kriket Pulau Pinang adalah palsu.
“Selain itu, tiada kejohanan kriket yang dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 23 Mac 2025 seperti yang dinyatakan dalam dokumen itu,” katanya.
Lebih mencurigakan, mereka turut cuba mendapatkan seorang penaja sebagai penjamin.
Namun, individu yang hadir sebagai ‘penjamin’ mengaku tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kejohanan tersebut dan hanya hadir sebagai wakil syarikat.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati tiada bukti kukuh yang menunjukkan mereka adalah pemain kriket sebenar.
“Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan bahawa kumpulan ini merupakan sebahagian daripada sindiket yang menyamar sebagai pemain kriket untuk memasuki Malaysia atas tujuan lain,” tambahnya.
Berikutan itu, AKPS telah mengambil keputusan untuk tidak membenarkan kumpulan tersebut mendarat (Not-To-Land, NTL), dan tindakan lanjut akan diambil mengikut peraturan imigresen yang berkuat kuasa.
AKPS juga memberi amaran keras bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau sindiket yang cuba menyalahgunakan visa sukan untuk tujuan lain, seperti bekerja secara tidak sah atau terlibat dalam pemerdagangan manusia. – MalaysiaGazette