Dr Zahriladha Zakaria

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengumumkan pelantikan Profesor Dr Zahriladha Zakaria sebagai Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi yang baharu bagi tempoh 2 tahun berkuatkuasa pada 17 Mac 2025.

Surat pelantikan ini telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir kepada beliau di pejabatnya di Putrajaya, petang semalam.

Pelantikan beliau sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM dilihat mampu untuk meneruskan kecemerlangan tadbir urus dan perancangan ekosistem penyelidikan, pembangunan inovasi, pengkomersialan dan ekonomi (RDICE) di UTeM dalam menyediakan produk dan perkhidmatan yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat menerusi eksplorasi ilmu.

UTeM dalam kenyataan berkata, pelantikan ini adalah bagi mengisi jawatan yang dikosongkan oleh Profesor Ir Dr Ghazali Omar yang telah bersara wajib pada bulan Januari lalu.

Zahriladha berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dengan kepujian (1998) dan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Telekomunikasi (2004) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) seterusnya Ijazah
Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Gelombang Mikro) dari University of Leeds, United Kingdom (2010).

Setelah bergraduat beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Jurutera Produk di STMicroelectronics Sdn Bhd (1998) sebelum beralih mencorak kecemerlangan menerusi kerjaya baharu sebagai pendidik di UTeM pada tahun 2002.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau adalah Ketua Jabatan Kejuruteraan Telekomunikasi, Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) (September 2011- Ogos 2012), Timbalan Dekan (Akademik) (September 2012-Jun 2014).

Pengurus Pusat Penyelidikan dan Inovasi Telekomunikasi (CeTRI), Ketua Pusat Kecemerlangan UTeM (CoE), Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (CRIM) (Ogos 2020 – Jun 2023) dan Pengerusi Majlis Profesor UTeM bermula dari September 2023 hingga kini.

Zahriladha merupakan pakar dalam bidang kejuruteraan gelombang mikro dan komunikasi tanpa wayar yang mana dalam dunia akademik dan penyelidikan, beliau telah menerbitkan lebih daripada 400 makalah saintifik serta memperoleh lebih 25 geran penyelidikan bernilai sekitar RM 2 juta.

Kepakarannya dalam pembangunan peranti gelombang mikro seperti penderia, penapis, penguat dan antena membawanya ke peringkat antarabangsa, termasuk memenangi lebih daripada 20 pingat emas di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Malaysia Technology Expo (MTE), International Trade Fair Ideas Inventions New Products (iENA) di Jerman, dan Seoul International Invention
Fair (SIIF), Korea Selatan.

Di samping itu, beliau juga memegang 5 hakcipta dan paten harta intelek dalam bidang teknologi gelombang mikro dan komunikasi tanpa wayar.

Pada masa yang sama beliau juga turut mendapat pengiktirafan sebagai tenaga pakar yang dijemput untuk menyampaikan ucaptama dalam lebih daripada 10 persidangan antarabangsa.

Sumbangan beliau dalam bidang kejuruteraan telah mendapat pengiktirafan apabila beliau telah dianugerahkan gelaran Senior Fellow IEEE serta diiktiraf sebagai Top Research Scientist Malaysia (TRSM) 2021 oleh Akademi Sains Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here