Mohd Salahuddin (tengah) menunjukkan dadah serta pistol yang dirampas pihaknya pada sidang media di IPD Seberang Perai Utara di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.

KEPALA BATAS – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kontinjen Pulau Pinang menumpaskan sindiket penyeludupan dadah jenis ganja dari Thailand selepas menahan dua lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan di sini, pada Sabtu lalu.

Tangkapan ke atas suspek berusia 24 dan 46 tahun itu membawa kepada rampasan dadah serta sitaan aset bernilai keseluruhan RM604,213.

Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu suspek berusia 46 tahun, jam 9.20 pagi di kawasan Plaza Tol Sungai Dua menghala ke arah selatan.

Mohd Salahuddin.

Jelas beliau, pemeriksaan ke atas SUV itu membawa kepada penemuan tujuh guni berisi dadah jenis ganja, bunga ganja serta sepucuk pistol model Sig Sauer, dua kelopak peluru kosong dan tiga pasang gari.

“Lima minit kemudian, satu lagi serbuan dijalankan di Plaza Tol Juru-Simpang Ampat dekat sini, yang membawa kepada tangkapan suspek berusia 24 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Altis.

“Secara keseluruhan kita merampas lebih 146 kilogram (kg) ganda dan lebih satu kg bunga ganja dengan anggaran nilai pasaran berjumlah RM487,243.

“Turut disita aset bernilai RM116,970 termasuk wang tunai RM5,710, dua buah kenderaan serta pelbagi jenis barang kemas.

Bunga ganja yang bernilai RM30,000 bagi setiap satu kilogram turut dirampas dalam serbuan tersebut.

“Manakala pistol dan gari itu pula, diperoleh secara percuma daripada sindiket di Thailand apabila suspek membeli lebih 100kg dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Sallahuddin berkata, hasil siasatan lanjut mendapati dua lelaki itu merupakan rakan daripada rangkaian sindiket sama dan mereka berperanan sebagai transporter membawa masuk dadah tersebut dari Thailand untuk pasaran di Kedah serta Lembah Klang.

Jelas beliau, kedua-dua suspek yang merupakan pemandu lori itu mendapat upah RM4,000 bagi setiap satu trip membawa masuk dadah tersebut ke dalam negara.

“Modus operandi sindiket pula, mereka akan menyewa kenderaan untuk menyeludup masuk dadah dari Thailand, selain salah seorang suspek berperanan sebagai ‘sweeper’ iaitu individu yang memastikan jalan yang dilalui suspek yang membawa dadah itu bebas daripada penguatkuasa.

“Kedua-dua suspek dipercayai aktif dalam kegiatan haram ini sejak awal tahun ini dan semakan lanjut mendapati suspek pertama positif dadah jenis THC.

Pistol dan gari diperoleh secara percuma daripada sindiket.

“Selain itu, semakan juga mendapati suspek pertama mempunyai lima rekod lamapu manakala suspek kedua satu rekod berkaitan jenayah,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 22 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here