Anwar Ibrahim.

SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru masyarakat Islam untuk lebih aktif mengimarahkan masjid sebagai pusat penyatuan ummah.

Tegas beliau, masjid harus dimakmurkan dengan aktiviti yang memperkukuh perpaduan serta mengukuhkan nilai-nilai Islam bagi memastikan kesejahteraan dan keharmonian negara terus terpelihara.

Bagaimanapun, beliau turut meluahkan rasa kebimbangan terhadap sikap segelintir pihak yang menggunakan masjid sebagai medan perpecahan dan perbalahan politik.

“Masjid seharusnya menjadi tempat penyatuan dan bukan platform untuk menyemai kebencian atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.

“Jangan gunakan Islam itu hanya untuk porak-peranda, menyerang. Bagi dia kefahaman. Apapun sebelum buat keputusan kena ada kefahaman.

Masjid Jamek Perai dibaik pulih sepenuhnya pada 29 Mac 2021 bagi menggantikan bangunan lama dengan kos bernilai RM5.5 juta.

“Nak berbeza pendapat boleh tak perlu cerca dan maki hamun serta tak perlu untuk menidakkan orang. Kena ada perbezaan pendapat tapi tidak cepat menghukum,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Perai di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid.

Pada majlis tersebut, Anwar turut bersetuju memberikan sumbangan RM100,000 kepada pihak masjid untuk pembangunan insaniah anak-anak kariah di kawasan tersebut.

Mengulas lanjut Anwar berkata, kejayaan sebuah masyarakat Islam bukan hanya diukur melalui aspek ekonomi dan politik tetapi juga sejauh mana institusi agama seperti masjid dimakmurkan dan berfungsi secara efektif.

“Masyarakat Islam perlu menjadikan masjid sebagai medan yang menyatukan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Semangat persaudaraan yang kukuh dapat dibentuk sekiranya masjid dimanfaatkan dengan sebaiknya sebagai pusat ilmu dan aktiviti kemasyarakatan.

“Masjid harus menjadi tempat yang terbuka kepada semua golongan termasuk wanita, anak muda bagi memastikan mereka dapat mendekati agama dengan lebih baik,” katanya.

Untuk rekod, Masjid Jamek Perai dibangunkan penduduk kawasan berkenaan pada tahun 1979  dan telah dibaik pulih sepenuhnya pada 29 Mac 2021 bagi menggantikan bangunan lama  dengan kos perbelanjaan sebanyak RM5.5 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here