KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan umat Islam bahawa al-Quran adalah kalam Allah SWT yang mesti dijadikan panduan hidup yang utama.
Titah baginda, kandungannya merangkumi enam aspek utama iaitu akidah, akhlak, bimbingan mentadabbur ciptaan Allah SWT, kisah umat terdahulu, peringatan dan ancaman, serta hukum-hukum amali.
“Setiap bahagian ini membentuk satu sistem lengkap yang membimbing manusia menuju kebenaran dan kebahagiaan hakiki.
“Oleh itu, masyarakat awam disarankan merujuk kepada ulama untuk memahami dan mengamalkan hukum-hakam ini dengan tepat,” titah baginda ketika berkenan menzahirkan perutusan Selamat Menyambut Nuzul Al-Quran 1446 Hijrah.
Peringatan itu dibuat baginda dengan memetik inti pati penting kandungan khutbah Jumaat lalu bertajuk “Al-Quran kitab petunjuk penuh mukjizat.
Antara firman-Nya dalam surah al-Hasyr ayat 21 yang bermaksud: “Sekiranya Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya”.
Titah baginda, begitu hebatnya pengaruh al-Quran yang mampu menggetarkan sehingga terbelahnya gunung-ganang.
“Namun, manusia kadangkala masih belum tersentuh dan terkesan dengan ayat-ayat Al-Quran kerana kelalaian, kekerasan hati dan keengganan untuk merenung serta mengambil pengajaran daripadanya.
“Al-Quran adalah mukjizat ilmiah yang kekal dan terpelihara, keistimewaan yang tidak diberikan kepada kitab-kitab dan suhuf lain hingga hari kiamat.
“Maka mengapa masih ada dalam kalangan kita yang meragui mukjizat Al-Quran?,” titah baginda. – MalaysiaGazette