KUALA LUMPUR – Pemilik akaun media sosial atas nama Ainon Mohd yang mengundang kemarahan ramai kerana menerbitkan hantaran mengaitkan Nabi Muhamad SAW dengan amalan nepotisme dan kronisme bersetuju membuat permohonan maaf.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah membuat teguran dan menggesa Ainon menurunkan kenyataan tersebut seterusnya menasihati agar berhati-berhati dalam memuat naik apa-apa kandungan berunsur Islam serta merujuk kepada pihak berautoriti bagi mengelak penyebaran maklumat yang tidak tepat.
“Beliau bersetuju agar hantaran berkenaan diturunkan daripada media sosial dengan mengemukakan permohonan maaf serta berjanji tidak akan mengulangi perkara yag sama dan akan lebih berhati-hati dalam sebarang penulisan yang dihasilkan,” katanya dalam kenyataan itu.
Hari ini JAKIM telah memanggil dan mengadakan pertemuan dengan Ainon yang telah memuat naik hantaran dengan mengaitkannya dengan junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.
Pertemuan tersebut turut disertai oleh pegawai daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Sehubungan dengan itu, JAKIM menyeru kepada semua pihak agar tidak mencetuskan kekeliruan dan kegelisahan awam dengan menimbulkan apa-apa perkara yang boleh mencemarkan kemuliaan baginda sebagai utusan Allah serta mengganggu keharmonian umat Islam di negara ini.
“JAKIM menghargai setiap usaha yang dilakukan oleh para pemain industri penerbitan buku di Malaysia dalam memandaikan umat melalui medium tersebut dan sebagai salah satu medium dakwah.
“Bagaimanapun, JAKIM berharap agar semua pihak lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya membuat sandaran kepada baginda Nabi Muhammad SAW demi menjaga kesucian nama serta martabat baginda sebagai utusan Allah,” kata kenyatan yang sama. – MalaysiaGazette
















