Timbalan Menteri Pertahanan ketika bercakap pada media berkenaan Program Veteran Madani ATM sekitar KL, Klang dan Banting di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Banting, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 18 MAC 2025

KUALA LANGAT – Syarat khas calon Perdana Menteri dalam kalangan orang Melayu dan Islam tidak sepatutnya timbul kerana perkara itu tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya dibangkitkan mana-mana pihak.

“Kalau kita lihat perkara paling asas, perkara itu tak sepatutnya dibangkitkan (PM syarat Melayu Islam) oleh mana-mana pihak.

“Ini kerana kita mempunyai Perlembagaan, kita ada teras negara kita dan jadi teras ini kita diguna pakai,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu Adly yang juga Ahli Parlimen Shah Alam hadir ke Program Veteran Madani Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekitar Kuala Lumpur, Klang dan Banting serta Majlis Iftar Bersama Veteran ATM di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Ahad lalu, media melaporkan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berpandangan cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan dengan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun adalah perkara yang terbuka untuk dibincangkan.

Bagaimanapun Syahir berkata, lebih penting dibincangkan untuk memperuntukkan ketetapan di dalam Perlembagaan mengenai syarat dilantik ke jawatan Perdana Menteri mestilah seorang yang beragama Islam.

Menurut Adly, sebaliknya Pakatan Harapan (PH) tidak menolak cadangan untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun kerana ia termaktub dalam manifesto parti itu.

“Saya adalah pengerusi Manifesto PH, memang itu hasrat PH. Seperti mana disebut Perdana Menteri, untuk mengubah Perlembagaan, kita memerlukan (sokongan) dua pertiga.

“Jadi kita ada banyak diplomasi dengan rakan-rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kita mahu Perdana Menteri dapat dalam tempoh dua penggal itu untuk melaksanakan tugasnya dengan sebaik mungkin dan beri peluang baharu kepada pemimpin ke hadapan boleh kita manfaatkan untuk negara,” katanya.

Selain itu, katanya, syarat khas itu perlu diketengahkan untuk memberi ruang kepada seseorang Perdana Menteri membuktikan sumbangannya dan menjamin kestabilan politik tanpa sebarang gangguan.

“Bagi dia tempoh yang sebaik mungkin iaitu 10 tahun untuk dia bekerja, kita kita mahu Perdana Menteri itu baru 17 bulan dan 22 bulan (memerintah) terus hilang kuasa.

“Seseorang pemimpin itu dapat memaksimumkan ruang dan peluang yang terbaik untuk merencana sesuatu terbaik untuk negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Tu manifesto PH..dan kerajaan skrg bukan PH jaaa…tak payah lah PH nak berlagak mcm Abang Long plak dlm kerajaan..banyak lagi manifesto PH yg tak ditunaikan…antaranya ialah pendidikan percuma dan hapuskan PTPN..tu lg penting tp tak buat punnnnnn..tak payah nak hadkan sepenggal kaa..dua penggal kaa..tiga penggal kaa…kalau PM tu bagus…10 penggal pun tak pa…tp kalau PM tu merepek mcm skrg ni..tak payah hadkan, sepenggal jaa rakyat akan jatuhkan melalui PRU

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here