KUALA LUMPUR – Perdana Menteri berpesan supaya seluruh umat Islam di negara ini supaya terus melakukan tadabbur al-Quran dan mengejar keampunan Allah SWT pada pertengahan Ramadan ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, al-Quran adalah hidayah dan petunjuk, bagi hamba-hamba yang bertaqwa, dan bagi yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan sahaja akan merasai kemanisan taqwa.
Menurutnya, wahyu pertama, yakni Iqra’ (Bacalah), menjadi titik permulaan sebuah era berasaskan ilmu dan menjadi panduan dalam mengangkat martabat insan dengan nilai keadilan dan ihsan.
“Salam Nuzul Quran saya ucapkan kepada semua rakyat Malaysia walau di mana pun kalian berada.
“Semoga kita dipilih oleh Allah SWT untuk bertemu dengan lailatul qadar, malam seribu bulan,” katanya sambil menzahirkan rasa syukur kerana umat Islam diberi kesempatan untuk bersama-sama hari ini memperingati peristiwa penting Nuzul Al-Quran, wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW di Gua Hira. – MalaysiaGazette