Siswa UMS dan UKM memasang lampu jalan solar.

KOTA KINABALU – Penganjuran Program Penggerak Pendaulat Borneo 9.0 hasil kolaborasi bersama siswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini telah memangkin satu perubahan yang signifikan dalam memberi manfaat terhadap kehidupan masyarakat kampung di Tawau.

Usaha tersebut direalisasikan menerusi inisiatif pemasangan unit panel suria dan unit lampu jalan solar bagi menerangi kawasan sekitar Kampung Serudong Laut, Tawau pada waktu malam, selain penganjuran Festival Akademik sebagai inisiatif pengukuhan dan perkembangan ilmu kepada pelajar sekolah di Tawau.

Program yang digerakkan oleh siswa Kolej Dato’ Onn UKM dan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha UMS itu menyaksikan sejumlah 12 panel suria dipasang di tiga tempat, iaitu di Surau, Gereja dan Balai Raya Kampung Serodung Laut, selain 40 lampu jalan solar di sekitar kampung tersebut.

Antara siswa-siswi UMS yang terlibat dalam menjayakan Program
Penggerak Pendaulat Borneo 9.0.

Pemasangan tersebut yang turut mendapat bantuan dan sumbangan tenaga kerja daripada Kolej Vokasional Tawau dan pihak Gabungan Persatuan Belia Bahagian Tawau (GABETA) sedikit sebanyak membawa perubahan dari segi suasana pada waktu malam yang menerangi jalan di sekitar Kampung Serudong Laut.

Program itu turut mendapat sokongan daripada pihak Adabi yang telah menyumbangkan 15 goodies bag dan 35 pek makanan kepada penduduk di kawasan itu, selain dua orang tukang masak utama dan dua orang kakitangan syarikat Adabi yang turut terlibat dalam penyediaan makanan sepanjang program dengan menggunakan produk-produk Adabi yang ditaja sepenuhnya.

Pelajar UMS menjayakan Festival Akademik di SMK Umas-Umas, Tawau.

Terdahulu, siswa-siswi UMS dan UKM turut bersama-sama menjayakan Festival Akademik yang berlangsung selama tiga hari di SMK Umas-Umas, Tawau.

Program tersebut yang menyampaikan enam modul, iaitu modul Ikhlas, modul Analisis SWOT, modul Hubungan dan Nilai Murni, modul Sahsiah dan Amal, modul Visual, Auditori dan Kinestatik serta modul Keterampilan Diri dan Pengurusan Masa, telah disertai seramai 142 pelajar SPM dan STPM yang terdiri daripada pelajar dari beberapa buah sekolah di sekitar Tawau.

Pameran daripada beberapa institusi pengajian tinggi dan kolej TVET turut dibawakan khas untuk para pelajar di dalam Festival Akademik ini, selain beberapa slot ceramah mengenai hala tuju universiti, ceramah pencegahan jenayah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan sesi penerangan ringkas bersama wakil IPT dan kolej TVET.

Bantuan barangan persekolahan seperti beg sekolah dan alat tulis sumbangan Malaysian Relief Agency (MRA) juga turut diberikan kepada pelajar yang layak.

Dalam pada itu, wakil majlis tertinggi JAKMAS KKTM, Allen Paul Justinus Situ menyuarakan harapan agar program tersebut dapat memberikan manfaat serta gambaran hala tuju kepada pelajar sekolah yang terlibat, selain memberi sedikit kemudahan kepada penduduk kampung di Kampung Serudong Laut.

“Selain manfaat kepada komuniti, diharap agar siswa-siswi yang menyertai program ini sendiri dapat mempelajari dan menerapkan nilai murni dalam kehidupan dengan lebih baik agar sentiasa bersyukur dan memiliki rasa empati untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Harapan juga agar lebih banyak program sebegini yang melibatkan masyarakat dapat dilaksanakan agar mereka yang memerlukan bantuan dapat mengukir senyuman atas manfaat yang diterima,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here