Timbalan Menteri Pertahanan beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Program Veteran Madani ATM sekitar KL, Klang dan Banting di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Banting, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 18 MAC 2025

KUALA LANGAT – Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa mana-mana pemimpin DAP yang tewas dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) agar terus membantu Kerajaan Perpaduan dalam memacu negara.

Naib Presidennya, Adly Zahari berkata, kerjasama itu penting untuk meneruskan kestabilan politik dalam Pakatan Harapan (PH) meskipun mereka yang berjawatan dalam kerajaan tidak terpilih dalam pemilihan kali ini.

“Kita dalam Amanah mengucapkan tahniah kepada pemimpin-pemimpin DAP yang dipilih dan kita harap pemilihan itu akan memberi kestabilan di semua peringkat (DAP).

“Sama ada kita menang atau kalah, yang penting adalah kita mahu mereka terus bekerjasama dalam PH dan Kerajaan Perpaduan untuk pacu negara kita.

“Pemilihan dalam parti adalah sebahagian daripada proses demokrasi tapi keutamaan kepada negara adalah jauh lebih (penting),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Program Veteran Madani Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekitar Kuala Lumpur, Klang dan Banting serta Majlis Iftar Bersama Veteran ATM di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), di sini.

Ahad lalu, pemilihan CEC DAP bagi penggal 2025-2028 menyaksikan Menteri Digital, Gobind Singh Deo memperoleh undian tertinggi dengan 2,785 undi.

Manakala Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen yang juga pemimpin DAP dari Sarawak pula menduduki tempat kedua dengan mendapat 2,631 undi.

Ini diikuti dengan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching pula calon wanita yang memperoleh undian tertinggi dengan 2,585 undi.

Selain itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook kekal sebagai Setiausaha Agung DAP, manakala bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng gagal mempertahankan jawatan Pengerusi DAP yang kemudiannya dilantik sebagai penasihat parti.

Pemilihan CEC DAP sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-18 itu turut menyaksikan dua muka baharu pemimpin Melayu iaitu Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here