PUTRAJAYA – Rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta akan didengar oleh Mahkamah Rayuan selama dua hari bermula esok.
Syed Saddiq, 33, mencipta sejarah sebagai wakil rakyat pertama dikenakan sebatan kerana melakukan kesalahan jenayah kolar putih.
Beliau didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 kerana bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan Syed Saddiq menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dilupuskan di Mahkamah Rayuan.
Pada prosiding esok, pasukan pembelaan akan mengemukakan hujahan menerusi peguam-peguam Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik manakala pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin selaku responden.
Ahli politik itu bagaimanapun mempunyai satu lagi peluang di peringkat Mahkamah Persekutuan jika keputusan rayuan tidak memihak kepadanya.
Syed Saddiq merayu kerana tidak berpuas hati terhadap keputusan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapatinya bersalah atas keempat-empat pertuduhan.
Menerusi penghakiman setebal 22 muka surat, hakim berkenaan menolak pembelaan Syed Saddiq sambil menyifatkan keterangannya `tidak masuk akal’.
Menurut hakim berkenaan, selaku Ketua Armada (ketika itu) yang juga salah seorang pemegang amanah akaun tindakan mengarahkan pengeluaran RM1 juta tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, merupakan satu kesalahan pecah amanah.
Mahkamah berpendirian, tindakan menyimpan dan membahagikan wang tunai yang dikeluarkan tanpa diletakkan di tempat yang selamat di pejabat Armada juga menimbulkan satu inferens niat jahat di pihak tertuduh.
Susulan itu, Syed Saddiq mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat pertuduhan serta mengetepikan hukuman terbabit.
Syed Saddiq berkata, hakim bicara terkhilaf dalam menyamakan pengeluaran dengan perbelanjaan wang.
Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq disabitkan bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Bagi pertuduhan kedua, dia didapati bersalah menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya antara 8 dan 21 April 2018.
Kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.
Syed Saddiq juga disabitkan atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Bekas Presiden MUDA itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLA dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – MalaysiaGazette