ISKANDAR PUTERI – Polis menumpaskan satu sindiket dadah antarabangsa selepas menyerbu tiga makmal dan satu kilang dadah dengan rampasan RM12.95 juta di daerah ini dan Seri Alam pada 6 hingga 11 Mac lalu.
Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Iskandar Puteri bersama-sama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melakukan lima serbuan bermula pukul 10 malam.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, dalam serbuan itu lima lelaki tempatan dan dua lelaki warga Taiwan berusia 25 hingga 40 tahun ditahan bersama-sama sejumlah rampasan dadah, peralatan dan bahan memproses dadah (precursor)
“Hasil saringan urin mendapati semua suspek negatif daripada sebarang jenis dadah manakala hasil semakan mendapati tiga suspek mempunyai rekod berkaitan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.
Polis juga merampas 42,500 gram serbuk methylenedioxymethamphetamine bernilai RM7,096,500 dan 182,800 gram syabu bernilai RM5,849,600 serta jumlah rampasan dadah berkenaan bernilai RM12,947,100.
Kumar memberitahu, dadah yang dirampas dalam operasi tersebut boleh digunakan seramai 1.05 juta penagih.
Selain itu katanya, pihak polis turut merampas pelbagai peralatan dan mesin untuk digunakan pemprosesan dadah yang dijumpai di kilang bernilai RM1,120,000.
“Kita turut merampas tiga kereta dengan nilai sitaan RM319,000; sebuah lori (RM49,800); pelbagai jenis barang kemas (RM15,822) dan tiga akaun bank (RM17,600.37.
“Jumlah nilai sitaan RM402,222.37. Jumlah keseluruhan rampasan dadah, sitaan dan rampasan precursor bagi operasi ini berjumlah RM14,469,322.37,” ujarnya.
Menurut beliau, sindiket tersebut dipercayai sudah beroperasi sejak Julai 2024 di kawasan rumah sewa yang berpengawal dan berpagar manakala kilang berkenaan pula di Kawasan Perindustrian Gelang Patah di sini.
Jelasnya, mereka memproses dadah di makmal berkenaan manakala kilang tersebut dijadikan stor penyimpanan dadah.
“Tujuh suspek yang ditangkap ini termasuk tiga daripadanya ahli kimia tetapi tidak mempunyai tauliah. Kita masih menyiasat dari mana mereka mendapat kepakaran membuat dadah yang dipercayai juga untuk diedarkan ke pasaran antarabangsa.
“Kita juga masih memburu saki baki anggota sindiket ini dan masih menyiasat sorang daripada tujuh suspek ini merupakan dalang sindiket ini,” ujarnya.
Semua suspek katanya, direman sehingga 20 Mac ini dan kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.- MalaysiaGazette