LOS ANGELES – Starbucks telah diarah membayar AS$50 juta kepada seorang pelanggan yang melecur apabila teh panas tumpah di pangkuannya di pandu lalu, dekat California.
Peguam untuk Michael Garcia berkata, pelayan yang menyerahkan tiga minuman bersaiz besar kepada anak guamnya pada Februari 2020, tidak meletakkan salah satu daripada air tersebut ke dalam kotak kadbod dengan betul.
Semasa dia menyambut kotak berkenaan, minuman itu terbalik, menyebabkan dia melecur tahap ketiga pada zakar, bahagian pangkal paha, dan paha dalamnya.
“Selepas dimasukkan ke hospital dan melakukan pelbagai cantuman kulit, Michael telah hidup selama lima tahun dengan kecacatan, kesakitan, disfungsi, dan kecederaan psikologi yang disebabkan oleh luka melecur,” menurut satu kenyataan dari Trial Lawyers for Justice.
Firma itu, yang pakar dalam tuntutan tanpa menang-tanpa bayaran berkata, Starbucks telah menafikan bertanggungjawab terhadap penderitaan Garcia, tetapi sebelum perbicaraan juri telah menawarkan untuk bayaran AS$30 juta.
Bagaimanapun, syarikat kopi gergasi itu menolak permintaan untuk permohonan maaf awam dan perubahan dalam dasar yang dikehendaki Garcia, menyebabkan kes itu dibawa ke perbicaraan.
Juri di Los Angeles pada hari Jumaat menganugerahkan beliau AS$50 juta, menyebabkan Starbucks terpaksa menanggung kos lebih daripada AS$60 juta apabila faedah pra-penghakiman, kos dan yuran peguam ditambah.
“Starbucks Corporation secara konsisten menafikan tanggungjawab selama lima tahun, sehingga ke dan melalui perbicaraan, dan cuba melepaskan tanggungjawab.
“Perbicaraan itu adalah contoh sempurna pembelaan remeh dan menyalahkan mangsa.
“Kami berbangga dengan Michael kerana membela dirinya sendiri dan mempunyai keberanian untuk menceritakan kisahnya,” kata kenyataan peguam.
Jurucakap Starbucks berkata, syarikat itu akan membuat rayuan.
“Kami bersimpati dengan Garcia, tetapi kami tidak bersetuju dengan keputusan juri bahawa kami bersalah atas insiden ini dan percaya ganti rugi yang diberikan adalah berlebihan.
“Kami sentiasa komited terhadap standard keselamatan tertinggi di kedai kami, termasuk pengendalian minuman panas, kata Jaci Anderson, pengarah komunikasi korporat, dalam satu kenyataan kepada AFP. – Agensi