KUALA LANGAT – Kerajaan Malaysia tidak boleh menerima kekejaman terbaharu rejim Israel sehingga mengorbankan beberapa petugas kemanusiaan di sebalik ikrarnya yang mahu melakukan gencatan senjata sebelum ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, tindakan tidak berperikemanusiaan itu seolah-olah mencabul kepercayaan rakyat Palestin yang mengharapkan gencatan senjata dilakukan mereka.
“Kita kecam tindakan dilakukan Israel terutamanya kepada Gaza sehingga membabitkan nyawa NGO (badan bukan kerajaan) kita (terkorban).
“Kita tak boleh terima kerana rakyat Palestine bersedia untuk lakukan gencatan senjata, tetapi berakhirnya serangan bersenjata dan pembunuhan.
“Jadi kita memang kita kutuk sekeras-kerasnya kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin itu sendiri, kita tak akan boleh terima,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu Adly yang juga Ahli Parlimen Shah Alam hadir ke Program Veteran Madani Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekitar Kuala Lumpur, Klang dan Banting serta menghadiri Majlis Iftar Bersama Veteran ATM di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), di sini.
Sebelum itu, media melaporkan lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) maut dalam serangan udara oleh rejim Israel di Beit Lahiya, utara Gaza, Sabtu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, serangan berlaku jam 1.30 tengah hari, ketika petugas sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan Israel.
Selain itu, Adly berharap NGO Malaysia dibenarkan untuk memberi perkhidmatan termasuk perubatan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
“Saya fikir Malaysia kekal tegas bersama Palestin. Seperti mana diungkap Perdana Menteri, kita akan terus membantu dari segi kesihatan, makanan dan keperluan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette