Seorang warga emas menampar seorang lelaki Cina kerana makan di bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Tindakan undang-undang wajar dikenakan ke atas warga emas menamparkan seorang remaja lelaki bukan Islam di sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini yang video kejadiannya tular.

Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, tindakan terbabit boleh dikenakan sekiranya kelakukan warga emas berkenaan didapati melanggar undang-undang.

“Mengenai tindakan pakcik tersebut, jika kelakuannya memang melanggar sebarang undang-undang, saya percaya dia harus bertanggungjawab atas tindakannya.

“Seksyen 323 Kanun Keseksaan Malaysia dengan jelas mendefinisikan seksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera.

“Pihak polis harus mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut undang-undang, mendakwa beliau, dan mencipta kesan penghalang untuk mengelakkan kejadian yang sama daripada berlaku lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu turut menyifatkan kejadian terbabit sebagai tindakan yang tidak wajar dan menegaskan bahawa setiap individu harus menghormati kepelbagaian budaya serta hak setiap rakyat Malaysia.

“Tiada siapa yang seharusnya bertindak sebagai ‘polis moral’ iaitu campur tangan dalam kehidupan orang lain berdasarkan standard mereka sendiri, masyarakat akan hancur dan malah akan menurunkan nilai-nilai yang salah kepada generasi akan datang.

“Apa yang seharusnya kita promosikan adalah toleransi dan pemahaman, bukan kritikan dan kawalan. Setiap orang mempunyai cara hidup mereka sendiri dan saling menghormati adalah asas kepada masyarakat yang harmoni,” katanya.

Jimmy Puah Wee Tse

Sebelum itu, lelaki yang ditampar warga emas dalam sebuah kedai serbaneka di pusat beli-belah di bandar raya ini, sudah membuat laporan polis malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa lelaki berusia 21 tahun pada pukul 9.08 malam.

“Mangsa mendakwa ditampar dua kali pada pipi kanan oleh seorang lelaki tidak dikenali selepas suspek bertanya mengenai agamanya dan meminta MyKad miliknya.

“Keengganan mangsa menyerahkan kad pengenalannya menyebabkan berlaku pertengkaran sebelum mangsa ditampar,” katanya.

Insiden itu menjadi tular selepas video pertengkaran antara dua lelaki dimuat naik di laman X oleh pemilik akaun @bingbinge656, kelmarin.

Mangsa menerusi ciapan di aplikasi X mendakwa warga emas itu bertanya sama ada beliau beragama Islam atau sebaliknya, sebelum meminta untuk melihat kad pengenalannya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here