Ahmad Zahid memuat naik poster gambar petugas MAPIM yang terkorban dalam serangan udara di Gaza, pada Sabtu lalu. Gambar: Facebook Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru umat Islam dan rakyat Malaysia berdoa, bersolidariti dan menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam apa jua cara yang termampu.

Seruan itu dizahirkan Timbalan Perdana Menteri susulan pemergian lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang maut dalam serangan udara di Gaza.

Ahmad Zahid menzahirkan dukacita dengan insiden kejam itu sambil menyifatkan pemergian mereka sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada MAPIM, tetapi kepada seluruh umat yang memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan.

“Mereka ialah wira kemanusiaan yang berjuang tanpa mengenal lelah demi membantu saudara-saudara kita yang tertindas.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya serangan tidak berperikemanusiaan ini dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk tidak berdiam diri terhadap kekejaman yang berterusan di bumi Gaza,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mendoakan roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang bertakwa.

“Semoga roh syuhada ini dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah,” katanya.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan lapan petugas warga Palestin itu syahid dalam serangan pada jam 1.30 tengah hari (waktu tempatan) di Beit Lahiya, utara Gaza, Sabtu lalu.

Serangan udara itu berlaku ketika petugas berkenaan sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Mereka yang terkorban ialah Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here