PUTRAJAYA – Sebanyak 26 jenis barangan termasuk santan diletakkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Tahun lalu, harga bagi sekilogram santan boleh mencecah RM22 tetapi kadar baharu adalah RM17.50 bagi Semenanjung, Sabah (RM12), Sarawak (RM9) dan Labuan (RM15).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penguatkuasaan berkenaan akan berlangsung dari 24 Mac hingga 7 April nanti.

Tempoh pelaksanaan adalah selama 15 hari iaitu tujuh hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan.
“Sebanyak 26 jenis barangan telah dikenalpasti di bawah skim ini berbanding dengan 24 jenis pada tahun lepas.
“Empat jenis barangan yang ditambah adalah bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (Ros), lobak merah dan santan yang terpaksa dikeluarkan pada tahun lalu akibat masalah bekalan,” katanya dalam sidang media pengumuman SHMMP di sini, hari ini.
Barangan lain yang diwartakan dalam skim berkenaan terdiri daripada sawi hijau, timun, tomato, cili merah, kacang panjang, bawang kuning besar dan bawang merah besar, bawang putih (China).
Turut disertakan adalah ubi kentang import (China), halia tua import, kacang tanah, cili kering kerinting, daging kerbau import India (di Semenanjung Malaysia, Sabah dan WP Labuan sahaja), daging lembu tempatan kecuali daging batang pinang (di Semenanjung Malaysia dan Sabah sahaja), ikan tongkol (Pahang, Terengganu, Kelantan), ikan demuduk, sagaj, cermin atau cupak (Sabah), ikan Kembung termasuk ikan mabung (8-12 ekor sekilogram), ikan selayang (8-12 ekor sekilogram), kubis bulat China (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing), kelapa biji (borong) dan kelapa parut (runcit).
“Selain itu, penentuan harga ini dibuat setelah mengambil kira pandangan dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi kerajaan berkaitan dan pemain-pemain industri.
“Pegawai-pegawai Penguat Kuasa KPDN akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan sepanjang tempoh masa skim bagi memastikan kepatuhan peniaga kepada perundangan berkaitan.
“Kementerian akan terus menjalinkan kerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim,” tambahnya.
Pegawai-pegawai Penguat Kuasa KPDN di seluruh negara juga akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan.
Hal ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan. – MalaysiaGazette