KUALA LUMPUR – Buruh kasar dan penjaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memberi rasuah sebanyak RM17,000 kepada pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai upah membantu proses permohonan sijil kelahiran dengan dokumen palsu pada 11 Mac lalu.
Tertuduh, Yap Foo Siong, 57, dan Ang Lay Peng, 40, pada pukul 9.50 pagi di McDonald’s Putrajaya DT tarikh berkenaan didakwa dengan niat bersama memberikan suapan kepada Pembantu Pendaftaran Gred KP1 untuk membantu mereka dalam proses permohonan sijil kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu iaitu dokumen daftar kelahiran JPN dan surat pengesahan bersalin.
Sehubungan itu, dua rakan berkenaan dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika disabit kesalahan kedua-dua mereka boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut jumlah yang lebih tinggi.
Terdahulu Pegawai Pendakwa SPRM Selangor, Muhammad Arif Asyraf memohon supaya mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM90,000 bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam kedua-dua mereka, Ethan W.H Tan merayu supaya kedua-dua mereka diberikan jumlah jaminan yang minima.
Jelasnya, ia kerana Yap dengan pendapatan RM2,300 terpaksa menanggung kos rawatan anak sulungnya sebanyak RM70,000 yang mengalami sakit bengkok tulang belakang.
“Tertuduh (pertama) mempunyai isteri wargangeara Indonesia tidak bekerja, jadi semua tanggungan di bahunya. Mempunyai dua anak berumur 10 dan 15 tahun, saya difahamkan anak sulungnya perlu menjalani pembedahan segera.
“Manakala tertuduh (kedua) yang merupakan ibu tunggal perlu menyara dua anaknya dengan pendapatan lebih kurang RM2,000. Anak bongsunya mempunyai penyakit sawan. Dia juga menanggung ibunya yang baru menjalani pembedahan jantung,” ujarnya.
Selepas mempertimbangkan hujah kedua-dua belah pihak, hakim Suzana Hussin menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap tertuduh.
Selain itu, beliau turut mengarahkan supaya kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri ke pejabat SPRM Selangor sekali setiap bulan selain.
Dalam masa yang sama, kedua-dua tertuduh juga dilarang mengganggu saksi sehingga kes tersebut selesai.
Mahkamah 22 April 2025 sebagai tarikh sebutan kes.
Sebagai rekod, media sebelum ini melaporkan SPRM menahan 16 individu kerana disyaki terlibat dengan rasuah pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warga negara kepada warga negara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.
Tahanan tersebut dibuat menerusi Op Birth dijalankan untuk membanteras sindiket pendaftaran lewat kelahiran.-MalaysiaGazette