PUTRAJAYA – Kerajaan Perpaduan berpandangan cadangan DAP untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun perlu diteliti.
Jurucakapnya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu ada dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini dan mengakui cadangan itu adalah kompleks dan rumit.
“Perlu ada pertimbangan termasuk di peringkat negeri dan sebarang perkara yang menjurus ke arah pindaan Perlembagaan adalah perkara yang perlu diberi pertimbangan yang cukup mendalam,” katanya dalam sidang media di Kementerian Komunikasi hari ini.
Fahmi berkata demikian mengulas cadangan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mengesyorkan kerajaan perlu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Anthony sebelum ini berkata, ia adalah manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang perlu ditunaikan.
Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan dalam mesyuarat Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta agar cadangan tersebut diperhalusi.
“Perdana Menteri telah minta supaya secara keseluruhan, hal ini diteliti dan dikaji,” katanya lagi.
Ahad lalu, Anwar berkata, kerajaan memegang janji melaksana agenda reformasi termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Anwar berkata proses itu perlu dilaksana dengan rapi dan memerlukan konsensus semua parti serta dua pertiga Ahli Parlimen. – MalaysiaGazette