KUALA LUMPUR – DAP Perak telah menubuhkan Jawatankuasa Gerak Khas untuk membantu kempen calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata parti itu akan bertungkus-lumus berkempen bagi memastikan kerusi DUN Ayer Kuning kekal milik Kerajaan Perpaduan supaya kerajaan Perak kekal kukuh.
Nga berkata DAP akan melaksanakan strategi kempen secara menyeluruh di pelbagai kawasan untuk memastikan kemenangan calon kerajaan dalam PRK itu.
Nga berkata pasukan kempen DAP Perak akan diketuai Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How serta Exco kerajaan negeri A. Sivanesan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah menang dengan majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.
Ketua Pemuda Amanah Perak Khairol Najib Hashim pula berkata pihaknya akan menganggap individu yang bertanding mewakili Kerajaan Perpaduan seolah-olah calon daripada parti itu sendiri.
Beliau berkata Pemuda Amanah Perak akan melancarkan jentera PRK DUN Ayer Kuning pada 22 Mac ini.
Khairol Najib berkata Pemuda Amanah Perak akan menggerakkan seluruh jentera secara tersusun, sistematik dan agresif sepanjang tempoh 14 hari berkempen bermula 12 hingga 25 April.
— BERNAMA