PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pagi ini bagi meneruskan sesi memberi keterangan berkaitan siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.
Ahli Parlimen Bera itu tiba pukul 9.58 pagi menaiki Toyota Vellfire hitam dan sempat melambai ke arah pengamal media yang telah menunggu sejak pukul 9 pagi.
Ini merupakan hari kelima kehadirannya ke SPRM sejak siasatan terhadapnya bermula.
Beliau disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Ahli Parlimen Bera itu dikaitkan dengan kes berkaitan perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia ketika memegang jawatan Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Siasatan terhadapnya semakin mendapat perhatian selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada 3 Mac lalu mengesahkan Ismail Sabri adalah suspek dalam kes itu.
Kenyataan itu dibuat susulan penemuan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang serta 16 kilogram jongkong emas di sebuah lokasi rahsia hasil serbuan SPRM.
Selain itu, SPRM turut menyita 13 akaun bank yang dipercayai berkaitan dengan siasatan ini.
Sebelum ini, pada Januari 2024, Ismail Sabri sudah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung dakwaan penggunaan dana sebanyak RM700 juta bagi tujuan publisiti kerajaan semasa pentadbirannya. – MalaysiaGazette