Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bercakap ketika temu bual bersama MalaysiaGazette di Pejabat YBM Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 6 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek menyifatkan seorang ketua perlu berpegang pada prinsip yang kuat untuk mengemudi sesebuah parti politik.

Beliau berkata, prinsip itu penting untuk memastikan kesinambungan perjuangan yang telah didukung selama ini.

“Kerana itu, dari dulu saya pegang pada kestabilan dan kesinambungan. Dua perkara ini mampu menjadikan parti itu dapat berjaya.

“Inilah beza saya dengan orang lain kerana pada saya, dua perkara ini perlu dilengkapkan untuk terus memacu sesebuah parti,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika menjadi tetamu program OWH!MG.

Menurut Fadhlina, dalam tempoh sepenggal mengemudi barisan kepimpinan Wanita PKR beliau telah berjaya membawa sayap itu  ke tahap membanggakan dengan meneroka perkara-perkara baharu yang seiring dengan matlamat parti.

“Antaranya 30WPRES iaitu 30 peratus representasi wanita, yang mana hasrat kami adalah memastikan ada golongan ini menjadi sebahagian pembuat dasar di negara.

“Kita juga sudah ada tabung 30WREPS sebagai misi mempersiapkan calon wanita menjelang pilihan raya, ini sebagai persediaan kami mengetengahkan calon-calon wanita,” katanya.

Jelas Fadhlina lagi, Wanita PKR juga telah berjaya melatih pemimpin-pemimpin untuk mengorak parti ini jauh ke hadapan.

Diminta mengulas peranan besar yang digalasnya meskipun baru bersama PKR, Fadhlina berkata,  pengalaman 20 tahun sebagai aktivis undang-undang banyak membantunya.

Fadhlina Sidek bercakap ketika temu bual bersama MalaysiaGazette untuk program OWH!MG. Foto AIZAT ZAINAL.

“Saya masuk PKR tiada apa-apa yang saya tawarkan kecuali kepakaran saya sebagai aktivis dalam bidang undang-undang. Selain itu, saya pakar dalam menulis manifesto, iltizam wanita dan menulis agenda-agenda wanita.

“Jadi, dengan tawaran inilah mungkin kepimpinan melihat kebolehan saya mengemudi sayap Wanita PKR,” katanya lagi.

Meskipun begitu, beliau yang juga merupakan Menteri Pendidikan berkata, penyertaannya  dalam parti diterima dengan semua penawaran yang dilakukan.

“Alhamdulillah, parti menerima saya, lagi-lagi kepimpinan Wanita PKR ketika itu hingga membawa kepada kepimpinan.

“Saya lihat di mana pun posisi kita, adalah lebih penting dengan menawarkan diri untuk parti, bukan sekadar bertanya apa parti boleh bagi, sebaliknya apa yang kita mampu lakukan,” tambahnya.

Menjawab pertanyaan mengenai perebutan jawatan Ketua Wanita PKR antara beliau yang dan Rodziah Ismail, Fadhlina berkata, dia berlapang dada kerana merasakan ia adalah sesuatu yang sihat.

“Ini adalah ruang terbuka dan saya berlapang dada untuk perkara ini.

“Bagi saya, ini bukan masa nak bercakap keburukan mana-mana pihak tetapi lebih kepada penawaran apa yang mampu diberi seperti yang saya katakan sebelum ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here