KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur City FC (KL City) tidak perlu menarik diri daripada saingan Liga Super pada musim depan kerana masalah kewangan yang membelenggu kelab itu boleh diatasi.
Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad berkata, ini kerana, faktor kewangan tidak menjadi masalah utama kerana pada zamannya, KLFA meraih dana daripada DBKL dan menjalin usaha sama untuk pembangunan tanah akademi.
Oleh itu, katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Dewan Bandara Kuala Lumpur (DBKL) perlu bersungguh-sungguh memainkan peranan penting dengan menyalurkan peruntukan kewangan kepada kelab itu.
“Mengenai hutang RM24 juta yang dikaitkan dengan KLFA dan KL City FC dengan menyatakan jumlah yang disebutkan adalah tidak masuk akal.
“RM24 juta itu adalah satu jumlah yang tidak munasabah dan selepas lima bulan lebih kurang, tiba-tiba kata berjaya kurangkan ke RM15 juta ini nampak macam angka main petik,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Baru-baru ini, Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar membayangkan skuad The City Boys itu bakal beraksi di liga bawahan musim depan.
Beliau yang juga salah seorang ahli lembaga pengarah kelab menjelaskan langkah itu bagi memastikan hutang RM15 dapat dilunaskan.
Ujarnya, KL City perlu beraksi di liga bawahan pada musim depan dengan anggaran kos operasi lebih rendah sekitar RM3 juta berbanding jika kekal beraksi di Liga Super dengan sekurang-kurangnya perlu mencari dana sebanyak RM18 juta.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, kenyataan itu satu pengkhianatan terhadap perjuangan serta usaha keras yang telah dilakukan untuk membawa KL City ke tahap yang lebih tinggi termasuk di Asia.
Beliau turut mencadangkan agar pengurusan sedia ada melepaskan pasukan kepada pihak yang lebih berkemampuan untuk terus mempertahankan status KL City FC di Liga Super.
“Jangan kerana kekurangan sokongan dan kewangan, kita bawa KL City ke Liga Perdana. Kita perlu terus kekalkan pasukan ini di Liga Super dan beri peluang kepada pemain serta jurulatih untuk berkembang dan menunjukkan potensi mereka,” tegasnya.
Tahun lalu, Zaliha menegaskan, DBKL tidak mempunyai sebarang obligasi menyalurkan sebarang bentuk peruntukan kepada KLFA dan KL City FC walaupun ia menjadi amalan kebiasaan, sebelum ini.
Beliau menegaskan, KLFA dan KL City FC adalah badan yang berdiri dengan sendiri, tidak mempunyai ikatan secara formal dengan DBKL dan beroperasi secara bebas.
Zaliha mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Khalid yang memohon agar 0.5 peratus daripada jumlah pendapatan DBKL dapat disalurkan kepada KLFA dan KL City FC.
Khalid sebelum itu berkata, berdasarkan pendapatan 2024 sebanyak RM2.38 bilion berjaya diperoleh DBKL, maka KL City FC sepatutnya tidak berdepan sebarang masalah kewangan jika mereka mendapat sokongan padu daripada badan berkanun itu. – MalaysiaGazette