KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada pemohon atau pelukis mural untuk melukis di tiga hentian bas dan kios di bandar raya ini.
Hentian bas dan kios yang terlibat dengan lukisan mural ini terletak di Jalan Raja Chulan (dua unit) dan Jalan Raja Azlan Shah (satu unit).
Justeru, lukisan mural yang didakwa dicat semula oleh DBKL telah dibuat tanpa kebenarannya .
Oleh itu, tindakan pemadaman dilakukan selaras dengan prosedur penyelenggaraan yang telah ditetapkan.
“Selain itu, disebabkan keadaan kios di Jalan Raja Azlan Shah yang usang dan tidak lagi ekonomik untuk dibaik pulih, DBKL telah memutuskan untuk merobohkan kios tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.

DBKL menjawab luahan rasa kecewa seorang pelukis mural menerusi akaun Cloakwork apabila mendapati lukisan muralnya telah dipadam.
Pelukis itu mendakwa dia melukis mural di sebuah binaan di perhentian bas yang sebelum ini penuh dengan contengan vandalisme.
Namun, katanya usahanya sia-sia apabila lukisan itu dipadamkan dan digantikan dengan cat.

DBKL juga memaklumkan, ia sedang menjalankan kerja-kerja menaik taraf dan mencantikkan hentian bas serta kios sebagai sebahagian daripada program penyelenggaraan bandar dan mempersiapkan Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Kepengerusian ASEAN 2025.
Program ini melibatkan 21 hentian bas dan kios di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sehingga kini, 18 hentian bas telah diselenggara dengan kerja-kerja mengecat, membaik pulih struktur, serta menukar bumbung bagi memastikan
ia lebih kemas dan selesa untuk kegunaan awam.
Semua hentian bas dan kios ini diselenggara serta dicat dengan warna standard DBKL, iaitu kelabu gelap.
“DBKL menghargai usaha komuniti seni dalam memperindahkan Kuala Lumpur. Namun, dalam masa yang sama, sebarang lukisan mural di tempat awam
perlu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kesesuaiannya dengan persekitaran bandar.
“Oleh itu, kami mengalu-alukan perbincangan serta cadangan daripada mana-mana pihak yang ingin menyumbang kepada keindahan bandar raya ini secara sah dan terancang” ujar DBKL lagi. – MalaysiaGazette