KUALA LUMPUR – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menggesa masyarakat antarabangsa khususnya negara-negara Islam dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghentikan genosid dan menghantar bantuan kemanusiaan segera ke Gaza.
Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, pihaknya juga mendesak supaya Majlis Keselamatan PBB dan badan hak asasi manusia mengambil tindakan konkrit segera dalam krisis di Gaza.
Dalam masa sama negara-negara Islam dan OIC juga perlu menggunakan mekanisme diplomasi, ekonomi dan undang-undang bagi menekan Israel agar menghentikan kekejaman ke atas Palestin.

“IKIM mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Gaza yang berterusan meskipun gencatan senjata telah dikuatkuasakan sejak 19 Januari lalu.
“Serangan ini telah menyebabkan kehilangan nyawa, kecederaan besar, kemusnahan infrastruktur kritikal, serta penderitaan yang tidak terkira kepada rakyat Gaza, khususnya wanita, kanak-kanak, dan golongan tua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohamed Azam berkata, IKIM turut menyokong penuh seruan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya masyarakat dunia bersatu dalam menuntut keadilan untuk rakyat Palestin.
“Selain itu, IKIM menyeru agar semua masjid dan surau di Malaysia melaksanakan solat hajat secara berterusan bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin sepanjang Ramadan ini,” katanya.
Israel kembali menyerang Gaza dan membunuh lebih 400 penduduk Palestin dalam serangan terbaharu beberapa hari lalu sebaik sahaja gencatan senjata fasa pertama dengan Hamas berakhir.
Tindakan kejam regim Zionis itu mendapat kutukan dan kecaman daripada masyarakat seluruh dunia yang menggesa campur tangan badan antarabangsa segera bagi menghentikan kekejaman Israel. – MalaysiaGazette