MUAR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap seorang pekerja pembersihan kerana merakam dan memiliki bahan lucah berupa video dan gambar bogel anak tirinya.
Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh yang berusia 56 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.
“Perbuatan kamu (rakam) sangat teruk. Mahkamah berharap kamu insaf dengan perbuatan ini, janganlah ulangi kesalahan seperti ini,” tegur Hakim kepada tertuduh sebelum menjatuhkan hukuman tersebut.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak iaitu 18 rakaman video dan beberapa gambar bogel anak tiri berusia 15 tahun sedang mandi.
Perbuatan itu dilakukan di bilik pegawai penyiasat jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar antara 17 September hingga 21 Disember tahun lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dengan penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika tidak membayarnya.
Tertuduh kemudian membayar denda itu.- MalaysiaGazette