MELAKA – Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mahu menghadiahkan cermin kepada Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Dr Muhamad Akmal berkata, hadiah kepada Menteri Besar Kedah itu yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS adalah sebagai simbolik supaya beliau dapat melihat semula apakah yang dilakukannya sebelum ini.
“Saya nak hadiahkan cermin untuk Sanusi supaya dia tengok balik ketika dia berkawan dengan DAP dulu.
“Ada ke PAS tegur DAP, macam Pemuda UMNO tegur DAP hari ini…(ketika itu mereka) anggap pemimpin DAP khalifah lagi ada,” katanya dalam kenyataan menerusi kumpulan Whatsapp media Melaka hari ini.
Reaksi itu adalah bagi mengulas kenyataan Sanusi dalam ceramah ketika Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning PN malam Sabtu lalu.
Dalam ceramahnya itu, Muhammad Sanusi secara sinis berkata mahu menghadiahkan kain batik bercorak roket kepada Pemuda UMNO.
Ini kerana UMNO memilih untuk berada sepentas dengan DAP yang dimusuhi dalam politik sejak puluhan tahun lalu melalui pembentukan kerajaan perpaduan. – MalaysiaGazette