KUALA LUMPUR – Seramai 13,550 pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) mendapat manfaat tajaan daripada Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) sepanjang empat tahun lalu sejak 2021.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, susulan keperluan bantuan pendidikan itu, kerajaan negeri terus menambah dana BKNS sehingga mencecah RM128 juta pada tahun ini.
“Sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan pada Oktober 2020, dana ini mengalami peningkatan yang ketara. Dari RM50 juta pada 2020 meningkat kepada RM55 juta pada 2021.
“Seterusnya dana ini ditambah lagi kepada RM101 juta pada 2023 dan RM113 juta pada 2024. Atas keprihatinan Kerajaan Negeri Sabah, dana ini meningkat dan mencatat jumlah tertinggi kepada RM128 juta pada tahun ini.
“Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 150 peratus berbanding 2020,” katanya berucap pada Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa-Mahasiswi IPT Bersama Ketua Menteri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Teks ucapan Ketua Menteri dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Pendidikan dan Agama, Datuk Dr Mohd. Arifin Mohd. Arif.
Selain itu, kata Hajiji, seramai 7,483 orang pelajar daripada golongan B40 yang tidak mendapat tajaan menerima pembiayaan daripada Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) berjumlah RM8.6 juta sejak dilancar pada 2022.
“Demi memperkasa bantuan pendidikan, pelbagai inisiatif telah diteruskan lagi pada tahun ini dan ditambah baik untuk membantu pelajar secara keseluruhannya.
“Antaranya ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) sebanyak RM2,000 kepada pelajar peringkat Ijazah dan RM1,500 kepada pelajar di peringkat Diploma atau Matrikulasi,” katanya.
Hajiji selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah (YS) berkata, kerajaan negeri akan terus menawarkan pelbagai jenis tajaan pendidikan bagi membantu para pelajar Sabah.
“Ini termasuklah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, Biasiswa Cemerlang Pelajar Luar Bandar, Biasiswa IPTA, Biasiswa IPTS, Dermasiswa dan Pinjaman Pengajian Tinggi.
“Komitmen YS dalam pendidikan di Sabah dapat dilihat dengan peningkatan dana itu sebanyak 86.38 peratus kepada RM67.17 juta pada 2024 berbanding RM36.04 juta pada 2021.
“Ini membolehkan seramai 3,234 pelajar mendapat manfaat tajaan pendidikan Kumpulan YS pada 2024,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Kumpulan YS juga menyediakan prasarana pendidikan melalui Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan Yayasan Kolej Universiti Sabah (UCSF).
“Melalui Portal Pendidikan Negeri Sabah (PTPS) yang dilancarnya tahun lalu, anak-anak Sabah mudah memohon tajaan pendidikan yang turut melibatkan badan penaja lain seperti Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) dan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).
Katanya lagi, pelbagai inisiatif yang diperkenal dan dilaksanakan itu menunjukkan kerajaan negeri prihatin dan peka terhadap keperluan anak-anak Sabah demi memastikan mereka sentiasa terbela.
“Kepada anak-anak semua sampaikan salam takzim saya kepada ibu-bapa kalian.
“Insya-Allah kebajikan pelajar Sabah akan sentiasa diberikan keutamaan oleh kepimpinan negeri, dalam kita melangkah maju ke hadapan mencapai aspirasi Sabah Maju Jaya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette