Anita Azrina Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Bekas Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz dilantik Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) baharu berkuat kuasa hari ini.

Perkembangan itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang memaklumkan Anita Azrina akan menjawat jawatan itu bagi penggal 2025-2027.

Beliau berkata selain Anita Azrina, pihaknya turut melantik Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor John sebagai Timbalan Pengerusi PSM yang baharu.

“Kedua-dua mereka (Anita Azrina dan Windsor) merupakan ahli lembaga PSM sebelum ini.

“Saya percaya pengalaman dimiliki Datin Anita Azrina yang merupakan bekas ahli korporat Petronas dan Windsor yang mahir mengenai bola sepak mampu meneruskan usaha dilakukan oleh mantan pengerusi Datuk Hans Isaac,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa Kementerian Belia dan Sukan-Persatuan Penulis-Penulis Sukan (SAM) di sini semalam.

Pada Isnin lepas, Hans menerusi Instagram mengumumkan beliau tidak lagi memegang jawatan Pengerusi PSM yang disandangnya sejak dua tahun lepas.

Sebagai rekod, sejak Hans memegang jawatan Pengerusi PSM, beliau berjaya memastikan entiti itu berpendapatan tinggi sebanyak RM10.64 juta pada 2024.

Stadium Nasional Bukit Jalil berhasil menyumbang RM1.8 juta daripada pendapatan yang dijana menerusi aktiviti bukan sukan seperti penganjuran konsert.

Hannah berharap pelantikan Anita Azrina dan Windsor mampu melancarkan program menaik taraf Kuala Lumpur (KL) Sports City sebagai persediaan Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.

“Saya nak KL Sports City akan terus diubah suai menjadi satu tempat untuk sukan dan rekreasi bertaraf dunia,” katanya.

Sementara itu, Hannah turut mengucapkan tahniah kepada atlet tenpin boling negara Tun Ameerul Luqman Al-Hakim Tun Hasnul Azam (Tun Hakim) yang melakar sejarah apabila menjadi pemain Malaysia pertama memenangi gelaran di Jelajah Persatuan Pemain-Pemain Boling Profesional (PBA).

Hannah juga berharap skuad tenpin boling terus mengharumkan nama negara dalam kejohanan disertai mereka.

Semalam, Tun Hakim, 25, dinobatkan sebagai juara PBA Chameleon selepas menewaskan wakil Amerika Syarikat Kevin McCune 269-227 dalam saingan akhir stepladder di National Bowling Stadium Reno, Nevada.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here