JOHOR BAHRU – “Kelengkapan raya yang sudah dibeli seperti baju, langsir dan televisyen baharu sudah ditenggelami banjir.”
Itu luahan seorang mangsa banjir, Hairul Azim Jasmin, 21, dari Kampung Pasir Tebrau di sini hari ini.
Dia yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara di sini sejak semalam menganggap banjir kali ini lebih mencabar kerana penduduk sedang berpuasa dan bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Hairul berkata, dia reda dan pasrah dengan keadaan itu dan akan menyambut hari lebaran seadanya.
Kawasan yang terjejas di kampung berkenaan, katanya, melibatkan 54 rumah dengan 105 keluarga melibatkan pelbagai peringkat usia.
“Keadaan semakin memburuk sejak semalam dan sudah surut tetapi paras air meningkat semula pagi tadi dan mula menenggelamkan rumah penduduk.
“Waktu malam keadaan sudah teruk tapi sekitar tengah hari sempat surut. Pagi tadi hujan turun lagi dan air naik semula dan kami hanya sempat selamatkan dokumen penting sahaja,” katanya ketika ditemui.
Setakat ini semua penduduk sudah dipindahkan ke PPS berkenaan kecuali satu keluarga yang sedang dibantu pihak bomba untuk dipindahkan.
“Kebiasaannya kalau kampung lain dah banjir, sini ambil masa dua hingga tiga hari baru dinaiki air. Tapi kali ini air naik mendadak, mungkin sebab sungai makin cetek dan tiada pembinaan tebing,” katanya.
Tambah Hairul, bencana alam tersebut berlaku hampir sama dengan tahun lalu iaitu sekitar Februari atau Mac.
Sementara itu, suri rumah, Zaleha Bachok, 52, berkata, air mula naik pagi tadi selepas hujan sepanjang malam dan rumahnya yang terletak di kawasan tinggi turut dimasuki air.
“Depan rumah air dah naik paras pinggang dan saya terpaksa pindah pagi tadi. Malam tadi pun kami buka puasa di luar sebab PPS belum dibuka.
“Sepanjang 29 tahun tinggal di sini, ini banjir yang paling teruk pernah terjadi tapi apa boleh buat, kami reda sebab duduk di kawasan rendah,” katanya.- MalaysiaGazette