JOHOR BAHRU – Situasi banjir di negeri ini semakin membimbangkan apabila jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,048 orang daripada 308 keluarga setakat pukul 12 tengah hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir di tiga daerah itu berbeza dengan 893 mangsa daripada 257 keluarga pukul 8 pagi tadi.
Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri memberitahu, sebanyak 13 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.
“Setakat ini enam PPS dibuka di Johor Bahru, empat di Pontian dan tiga di Kulai. Johor Bahru mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir daripada 567 mangsa (165 keluarga) pagi tadi kepada 674 mangsa (202 keluarga) tengah hari ini.
“Jumlah mangsa banjir di Pontian juga meningkat daripada 57 mangsa (16 keluarga) pagi tadi kepada 105 mangsa (30 keluarga) tengah hari ini.
“Di Kulai pula, jumlah mangsa banjir kekal dengan 269 orang daripada 76 keluarga,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) masih tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir di negeri ini namun masih dengan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di enam daerah.
Amaran hujan lebat berterusan itu membabitkan daerah Johor Bahru, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai dan Kota Tinggi yang dijangka berlaku sehingga esok.
Sementara amaran hujan berterusan tahap waspada pula dikeluarkan membabitkan daerah Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pahat, juga dijangka sehingga esok.
Pada masa sama, lima sub lembangan sungai di tiga daerah terjejas banjir merekodkan bacaan melepasi paras bahaya.
Hujan masih dilaporkan melanda semua daerah di negeri ini sehingga pukul 12 tengah hari ini.- MalaysiaGazette