JOHOR BAHRU – Banjir yang melanda daerah ini dan kawasan sekitarnya sejak semalam telah menjejaskan aliran trafik di bandar raya ini sejak petang tadi hingga tengah malam ini.
Rata-rata pengguna jalan raya di daerah ini berkongsi foto dan video situasi itu sehingga tular dalam media sosial akibat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang dianggap luar biasa kerana jarang berlaku.
Difahamkan keadaan itu berlaku kerana banyak jalan terjejas termasuk ditutup akibat banjir yang semakin memburuk pada hari ini.
Pengguna jalan raya, Annaz Md Nor, 40, berkata, dia bersama-sama dua anaknya, bergerak pulang dari tempat kerja di pusat bandar pada pukul 6.15 petang, namun terperangkap dalam kesesakan sebelum berhenti di sebuah pusat beli-belah untuk berbuka puasa.
“Saya lihat pada aplikasi Waze, kami dijangka tiba di rumah di Taman Austin Perdana pada pukul 8.15 malam. Saya buat keputusan berhenti untuk berbuka puasa dan solat Maghrib dahulu sebelum sambung perjalanan.
“Bagaimanapun, sebaik menyambung perjalanan pada pukul 8.15 malam, kesesakan jalan raya semakin teruk dan sehingga 11 malam ini, kami belum sampai di rumah.
“Sedangkan sepatutnya perjalanan pulang hanya mengambil masa 25 minit atau paling lewat 45 minit sahaja,” ujar penjawat awam itu ketika dihubungi.
Annaz mendakwa, kesesakan lalu lintas luar biasa ini disebabkan banjir dan beberapa jalan raya ditutup kerana dinaiki air dan tidak boleh dilalui oleh mana-mana kenderaan.
“Saya nampak kira-kira lima kenderaan sudah tersadai tepi jalan akibat berlaku kerosakan, mungkin kerana terlalu lama terperangkap dalam kesesakan,” katanya.
Sementara itu, bapa tiga anak, Mohd Raflik Affandi, 41, berkata, perjalanan pulang dari rumah mentuanya di Kampung Mahmoodiah ke rumahnya di Taman Setia Indah biasanya mengambil masa 20 hingga 30 minit sahaja.
Bagaimanapun, kesesakan lalu lintas malam ini menyebabkan dia hanya tiba di rumah pada pukul 10.30 malam selepas sejam setengah di atas jalan raya.
“Saya buka puasa di rumah mentua kerana tahu tidak akan sempat sampai rumah untuk berbuka. Namun, selepas berbuka pun, kami masih tersangkut dalam kesesakan.
“Apa yang dapat dilihat tadi, air di longkang dekat kawasan banjir masih tinggi, namun tidak melimpah ke jalan raya dan dipercayai beransur surut,” katanya.
Hujan berterusan melanda negeri ini sejak pagi semalam dan banjir mula berlaku di beberapa daerah termasuk Johor Bahru yang paling awal terjejas malam semalam.
Setakat pukul 10 malam, lima daerah di Johor terjejas banjir iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang, Kulai dan Pontian dengan jumlah keseluruhan mangsa banjir mencecah 5,092 terdiri daripada 1,284 keluarga yang kini ditempatkan di 79 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka.- MalaysiaGazette