KUALA LUMPUR – Pengumuman Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan disalurkan kepada penjawat awam di Selangor membuktikan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri dan pengurusan kewangan yang cekap.
Menurut Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad, bantuan berjumlah RM72 juta yang akan memanfaatkan hampir 80,000 penerima adalah hasil daripada kecekapan kerajaan negeri mengurus hasil di Selangor.
Menurut beliau, kerajaan negeri bawah teraju Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari terus mencatat prestasi cemerlang dalam kutipan hasil sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Pengumuman ini membuktikan juga komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat, khususnya penjawat awam yang memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri.
“Langkah ini bukan sahaja menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesejahteraan penjawat awam, malah ia adalah bukti bahawa Selangor berada di landasan tepat dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berterusan,” katanya dalam kenyataan.
Keupayaan kerajaan negeri dalam menyediakan bantuan khas ini juga menepis sebarang tohmahan pihak yang cuba mempertikaikan kestabilan pentadbiran di Selangor. – MalaysiaGazette