Khairil Anuar Mohammad Anuar

KUALA LUMPUR – Co-opbank Pertama (CBP) mencatatkan keuntungan RM124.19 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, peningkatan sebanyak 3.1 peratus berbanding tahun kewangan tahun 2023.

Sehingga 31 Disember 2024, jumlah modal syer CBP telah mencatatkan lebih RM1.6 bilion dan jumlah ini mencukupi untuk menyokong perkembangan perniagaan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, CBP perlu sentiasa memantau dan memastikan kedudukan modal berada pada tahap optimum selaras dengan perkembangan perniagaan.

“Pembukaan semula Syer Keanggotaan CBP pada Jun 2024 untuk membantu meningkatkan kedudukan nisbah modal berwajaran risiko ke tahap yang sihat untuk menyokong pertumbuhan perniagaan.

“Pada masa yang sama, ia mematuhi nisbah kehematan yang ditetapkan oleh kedua-dua pengawal selia CBP iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

CBP juga, tambahnya, merancang untuk menerbitkan sukuk sulungnya tahun ini yang menjadi program RM5 bilion berasaskan konsep Wakalah Bi Al-Istithmar dan akan dikeluarkan secara berperingkat berdasarkan keperluan perniagaan serta keadaan pasaran dengan sasaran terbitan pertama adalah antara RM500 juta hingga RM1 billion bergantung kepada keadaan pasaran, keperluan pelabur dan keperluan likuiditi CBP.

“CBP perlu mempelbagaikan asas pembiayaan dan mengekalkan nisbah pembiayaan yang stabil serta penting untuk strategi pengurusan aset dan liability,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairil Anuar menyatakan CBP juga dalam proses mendapatkan Platform Pembayaran Runcit Masa Nyata (RPP) yang membolehkan pelanggan menggunakan DuitNow Transfer dan DuitNow QR pada aplikasi HELOCBP dan HELOBiz.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha CBP untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik secara atas talian kepada pelanggan, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here